Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wang AS$120 juta di akaun bank saya bukan dari SRC - Najib
Diterbitkan:  Oct 9, 2024 6:18 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Najib Razak memaklumkan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa AS$120 juta yang dikreditkan ke dalam akaun bank beliau melalui tiga transaksi bukanlah pendapatan peribadinya.

Bekas Perdana Menteri berusia 71 tahun itu juga berkata wang itu bukan berasal daripada dana SRC International Sdn Bhd atau Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Najib, selaku defendan pertama, berkata demikian ketika disoal oleh peguam SRC International iaitu Lim Chee Wee pada perbicaraan kes saman syarikat itu sebanyak US$1.18 bilion terhadap beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.

Lim: Datuk Seri, jom kira gaji tahunan anda berdasarkan jumlah paling tinggi, katakanlah RM1 juta… tetapi wang sebanyak US$120 juta telah dikreditkan ke dalam akaun peribadi anda. Itu (US$120 juta) bukanlah daripada sumber pendapatan peribadi anda, betul kan?

Najib: Saya tidak pernah kata begitu.

Lim: Saya perlu tanya kerana anda tidak pernah menyentuh mengenai perkara ini di mahkamah.

Najib berkata berdasarkan dokumen yang dikaji dan dianalisis oleh pasukan pembelaannya, dapat disimpulkan bahawa AS$120 juta itu bukan berasal daripada dana SRC International atau KWAP namun beliau menyerahkan perkara itu kepada mereka untuk dihujahkan kerana aliran wang tersebut adalah kompleks. 

Kepada soalan sama ada beliau telah mengarahkan pihak polis, Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat akaun SRC International yang dibekukan oleh pihak berkuasa Switzerland, Najib berkata “Tiada arahan berkaitan akaun terbabit tetapi saya memaklumkan pihak pengurusan syarikat agar berusaha mendapatkan kembali wang itu."

Ditanya sama ada beliau meminta pihak berkuasa terbabit memberikan laporan (mengenai siasatan berkaitan akaun yang dibekukan), Najib berkata “Saya menjangkakan mereka akan berbuat demikian kerana adalah penting untuk mereka berbuat demikian.” 

Pada Mei 2021, SRC International di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

Sebelum ini, SRC International menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

SRC International memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialami olehnya akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntut bekas Perdana Menteri itu membayar pampasan RM42 juta bagi kerugian itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS