Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar Ridhwan bela PM isu martabatkan bahasa Melayu
Diterbitkan:  Oct 9, 2024 5:52 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Sasterawan Negara Anwar Ridhwan tampil mempertahankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung isu memartabatkan bahasa Melayu tanpa meminggirkan bahasa utama dunia.

Jelas Sasterawan Negara ke-10 itu, bekas ahli parlimen Bangi Ong Kian Ming yang dilaporkan "sekolahkan" perdana menteri berhubung isu berkenaan hanya melihat daripada satu sisi sahaja berkaitan teguran terhadap sesetengah kumpulan elit yang suka menggunakan bahasa Inggeris.

Katanya, Ong sebagai seorang terpelajar yang mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD) tidak sepatutnya memberi komentar berdasarkan liputan media semata-mata.

Sebaliknya, kata Anwar Ridhwan yang juga pengerusi lembaga pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Ong perlu mendengar keseluruhan ucapan dan memahami konteks penuh yang disampaikan oleh perdana menteri.

"Dalam ucapan tersebut, Anwar menegaskan betapa pentingnya penguasaan pelbagai bahasa utama dunia termasuk bahasa Inggeris (BI), bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa Arab tanpa mengenepikan kedudukan utama BM (bahasa Melayu) sebagai bahasa kebangsaan.

"Ong sebaliknya hanya menumpukan kepada satu bahagian dalam ucapan Anwar, di mana beliau menyebut tentang 'sikap sebahagian elit' yang terlalu taksub dengan BI sehingga meminggirkan BM.

"Apa yang ditegur oleh Anwar hanyalah sikap sebahagian elit yang mempunyai satu fobia terhadap BM, terlalu mengagungkan BI serta terlalu ghairah dan obsesi terhadap penguasaan BI seolah-olah hidup kita, kejayaan kita dan kepintaran kita hanya kerana penguasaan BI," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Pada 7 Okt lalu, Ong berkata, perdana menteri seharusnya membentangkan naratif positif dan bukannya negatif berkenaan penggunaan bahasa Melayu.

Menurutnya, ini akan menggalakkan dan memberi insentif kepada orang ramai untuk menggunakan bahasa Melayu kerana ia adalah kepentingan mereka untuk mencapai komuniti berbahasa Melayu lebih luas, dan bukan kerana mereka dipaksa menggunakannya.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk pasukan perdana menteri di Jabatan Perdana Menteri menunjukkan beliau beberapa contoh positif di media sosial ini supaya beliau dapat tonjolkan naratif positif ini,” kata Ong.

Semalam, Anwar menyerang “golongan elit yang terlalu taksub kepada bahasa Inggeris” sehingga meremehkan kepentingan bahasa kebangsaan.

“Bahawa mereka itu hidupnya di Malaysia, jadi mereka mesti mewakili hasrat dan aspirasi rakyat Malaysia keseluruhannya dalam memartabatkan bahasa Melayu.

“Mereka ini adalah beberapa elit yang sudah tercabut dari akar tradisi bangsanya terhadap bahasa sendiri.

“Walaupun kita membicarakan soal bahasa lain tetapi jangan sampai mengurangkan keutamaan atau menyamakan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara,” katanya.

Mengulas lanjut Anwar Ridhwan berkata, penekanan perdana menteri ialah dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu tidak bermaksud perlu mengetepikan bahasa Inggeris, sebaliknya kedua-dua bahasa ini memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

"Penguasaan BI adalah perlu dalam konteks ekonomi dan komunikasi antarabangsa, manakala BM pula adalah tunjang identiti nasional dan perpaduan.

"Ini adalah satu kenyataan yang relevan dan tepat, terutama dalam konteks Malaysia yang pelbagai budaya dan bahasa. Anwar ingin mengingatkan bahawa penguasaan BM adalah penting untuk memastikan perpaduan nasional, sementara penguasaan BI adalah penting untuk mencapai kejayaan dalam ekonomi dan bidang lain.

"Sikap yang ditekankan oleh Anwar adalah untuk mencapai keseimbangan. Untuk maju, Malaysia tidak boleh menyisihkan mana-mana bahasa, tetapi pada masa yang sama, kita tidak boleh lupa bahawa BM adalah bahasa kebangsaan dan kedudukannya dalam perlembagaan adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikai," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS