Seperti Perdana Menteri Anwar Ibrahim, pendahulunya Dr Mahathir Mohamad nampaknya turut menyertai perbahasan antara kerajaan yang mengamalkan dasar campur tangan dengan kapitalisme yang tidak terkawal.
Bekas perdana menteri itu memberi peringatan yang tanpa dasar campur tangan, jurang antara kaya dan miskin boleh mencapai kemuncak.
“Konflik sentiasa tercetus antara golongan kaya dan miskin.
“Dalam kajian oleh seorang profesor Amerika, konsumsi golongan kaya adalah 32 kali ganda berbanding golongan miskin.
“Di era perubahan iklim ini, jurang antara kaya dan miskin lebih lebar. Golongan kaya boleh mendepani masalah yang timbul manakala golongan miskin tidak dapat mengatasi kesan buruk perubahan (iklim),” katanya di X.
Mahathir, yang ketika tempoh pertama sebagai perdana menteri dikatakan telah melahirkan ramai golongan kapitalis, berkata golongan miskin merasakan mereka juga berhak menikmati kemudahan yang dinikmati golongan kaya, serta mahukan lebih belas ihsan daripada kerajaan.
“Ada kecenderungan untuk orang kaya jadi lebih kaya dan orang miskin jadi lebih miskin. Kuasa kekayaan terakru kepada golongan kaya sementara orang miskin mungkin terpaksa menjual aset mereka untuk meredakan kesan ancaman.
“Akibatnya, orang miskin hilang makin banyak dan orang kaya mendapat manfaat daripada kehilangan itu,” katanya lagi.
Dibiarkan tanpa campur tangan, Mahathir berkata jurang kaya miskin yang kian melebar boleh menyebabkan ketegangan sosial.
“Penyelesaian hanya boleh datang daripada campur tangan kerajaan. Trend ini mesti diperlahankan, kalau pun tak dihentikan. Hanya kerajaan yang boleh melakukannya,” katanya lagi.
Sosialisme untuk golongan kaya
Pada Isnin lalu, Anwar yang juga menteri kewangan mengambil maklum yang tanggapan lazim adalah “perniagaan bukan urusan kerajaan”.
Dia berkata doktrin itu berpegang kepada pendekatan kerajaan memberi kebebasan kepada mereka yang bergiat dalam dunia korporat.
“Tapi nampaknya ada pengecualian. Misalnya, bagi perusahaan besar yang ‘terlalu besar untuk runtuh’ (too big to fail), maka dasar campur tangan boleh dilaksanakan, terutama untuk bail out perusahaan yang sedang merosot seperti bank besar dan syarikat insurans.
“Bagi saya, pendekatan ini sangat menyerupai ‘sosialisme untuk golongan kaya dan kapitalisme untuk golongan miskin’,” katanya, sambil menambah pendekatan itu hanya menguntungkan golongan kaya dan merugikan golongan miskin.