Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ikim nafi RUU Muti Wilayah Persekutuan bersifat autoritarianisme
Diterbitkan:  Oct 9, 2024 4:28 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menepis dakwaan Rang Undang-undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan bersifat autoritarianisme.

Ketua pengarahnya Profesor Madya Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, sebaliknya RUU ini untuk menjaga kesucian ajaran Islam dan diharap dapat mecegah penyebaran ajaran sesat.

"Tuduhan RUU Mufti Wilayah Persekutuan adalah autoritarianisme adalah satu tuduhan yang tidak berasas kerana RUU ini tidak memberikan kekuasaan mutlak kepada mufti.

"Justeru itu, undang-undang ini mengatur mekanisme semak dan imbang yang melibatkan pelbagai pihak yang berkepentingan sesuai dengan kepakaran masing-masing.

"Tujuan utama RUU Mufti Wilayah Persekutuan ini adalah untuk memberikan panduan jelas dalam penerbitan fatwa, bukan untuk membatasi hak kebebasan yang sedia ada," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim membantah RUU tersebut dengan mendakwa ia adalah contoh jelas pentadbiran autoritarian di bawah kerajaan Madani.

Zaid memberi amaran bahawa sebaik sahaja RUU itu diluluskan, ia akan membolehkan mufti menggunakan pengaruh besar di peringkat persekutuan.

Menurutnya, jika Mufti Wilayah Perskutuan mengeluarkan fatwa mengharamkan tembakau atau mengarahkan umat Islam hanya makan di restoran yang mempunyai sijil halal, fatwa-fatwa tersebut akan mengikat secara undang-undang di Wilayah Persekutuan.

Dia mempersoalkan sama ada kebebasan peribadi masih wujud di bawah peraturan sedemikian, dengan memberi contoh makan di tempat yang tidak mempunyai sijil halal seperti restoran sushi atau tiram, yang boleh menjadi satu kesalahan.

Zaid turut menyatakan kebimbangan bahawa hak-hak perlembagaan, seperti memilih tempat makan, boleh memberi kesan di bawah pentadbiran kerajaan Madani.

Mengulas lanjut Mohamed Azam berkata undang-undang itu juga dirancang bagi menyelaras prosedur penerbitan fatwa supaya fatwa yang dikeluarkan akan lebih konsisten dan dapat dipertanggungjawabkan.

Selain itu katanya, ia untuk meningkatkan kredibiliti institusi kefatwaan yang diharapkan dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh mufti.

"Dalam konteks RUU Mufti Wilayah Persekutuan, ia tidak akan mengikat jabatan fatwa di peringkat negeri. Secara umumnya jika negeri-negeri berkenaan menerima fatwa tersebut maka ia perlu dibawa di dalam muzakarah jawatankuasa fatwa negeri.

"Jika semua ahli jawatankuasa fatwa negeri bersetuju dengan fatwa tersebut, maka fatwa tersebut akan dipersembah kepada raja bagi negeri-negeri berkenaan untuk memohon perkenan dan seterusnya diwartakan," jelasnya.

Tambahnya lagi, jika RUU Mufti Wilayah Persekutuan diluluskan, Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan setiap negeri bagi mengikuti RUU ini kerana Islam ialah urusan negeri dan hal berkaitan Islam berada di bawah bidang kuasa negeri dan naungan raja bagi negeri masing-masing.

"Kesimpulannya, RUU Mufti Wilayah Persekutuan dibuat bagi menjamin kredibiliti dan keabsahan pengeluaran fatwa yang hanya digunakan di Wilayah Persekutuan sahaja.

"RUU Mufti Wilayah Persekutuan merupakan satu langkah penting dalam memartabatkan institusi keagamaan dan memberikan garis panduan yang jelas dalam pelaksanaan hukum syariah di negara kita," kata Mohamed Azam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS