Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan Lim mula prosiding hina mahkamah terhadap Wan Fayhsal ditolak
Diterbitkan:  Oct 9, 2024 2:28 PM
Dikemaskini: 6:28 AM

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Lim Guan Eng untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang didakwa mengeluarkan kenyataan mengenai perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Hakim Azura Alwi berkata mahkamah tidak berhasrat untuk memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap Ahli Parlimen Machang itu, walaupun bersetuju bahawa mana-mana pihak tidak sepatutnya membuat sebarang komen mengenai kes tersebut.

“Sepatutnya semua pihak harus tahu dan tidak mengeluarkan sebarang komen (berkaitan perbicaraan).

"Saya tidak berhasrat memulakan apa-apa prosiding menghina mahkamah kerana jika saya layan semua, banyak prosiding menghina mahkamah yang sebenarnya mahkamah kena buat. Saya tidak pasti jika pihak pendakwaan ingin mengkajinya,” kata beliau.

Terdahulu, peguam RSN Rayer yang mewakili Lim berkata Wan Ahmad Fayhsal telah membuat kenyataan mengenai perbicaraan kes tersebut di Instagram dan aplikasi X miliknya, baru-baru ini.

“Beliau telah menggunakan perkataan “Betul betul direct. Award. Party”. Saya beranggapan, ini merupakan satu perkara yang sedang dibicarakan dan tidak wajar dijadikan bahan ketawa atau sindiran dalam laman sosial, kerana perkara ini belum lagi diputuskan oleh mahkamah.

“Beliau tidak ada di mahkamah dan tidak mendengar prosiding di mahkamah. Beliau telah mengeluarkan kenyataan itu berdasarkan apa yang dilaporkan. Oleh itu, saya mohon sekiranya prosiding menghina mahkamah dapat dimulakan terhadap Wan Ahmad Fayhsal,” kata peguam itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata mana-mana pihak tidak sepatutnya memberi komen mengenai perbicaraan kes itu.

“Ini pendapat saya sebagai timbalan pendakwa raya, saya rasa tak patut sesiapa komen. Siapakah beliau dalam kes ini?” katanya.

Pada 2 Okt, Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberitahu mahkamah bahawa Lim akan memberinya Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang secara rundingan terus, jika beliau dapat mengaturkan satu majlis pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat dari China.

Pada prosiding sama, Azura menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ng Weng Jun, yang menjalankan siasatan berhubung kes ahli perniagaan G.Gnanaraja bagi menyokong keterangan Zarul Ahmad dalam prosiding untuk mencabar kredibiliti saksi tersebut.

“Mahkamah telah meneliti dan menimbang segala hujahan bertulis dan lisan, mahkamah berpuas hati dan memutuskan permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil pegawai penyiasat itu ditolak.

“Mahkamah mendapati pada tahap ini Seksyen 425 Kanun Tatacara Jenayah tidak wajar diguna oleh pihak pendakwaan untuk memanggil saksi tersebut,” kata Azura yang kemudiannya menetapkan 23 Okt untuk menyambung prosiding mencabar kredibiliti saksi.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad, sebagai upah untuk membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik bagi projek yang sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS