Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1BestariNet: SPRM siasat 30 saksi - Mahdzir, Muhyiddin juga dalam senarai
1

SPRM sedang mempertimbangkan untuk memanggil bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid bagi membantu siasatan kes 1BestariNet yang membabitkan sebuah syarikat yang dilantik oleh kementerian untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada 8,000 sekolah didakwa membuat tuntutan palsu.

Menurut sumber yang rapat dengan siasatan itu, nama Mahdzir adalah antara dalam senarai penyiasat selain bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Mahdzir Khalid

“Itu la, orang kata Muhyiddin saja, sebenaranya bukan hanya tertumpu kepada (zaman) Muhyiddin saja.

“Orang lupa tentang Mahdzir Khalid, dia pernah menjadi menteri pelajaran selepas Muhyiddin dipecat. Jadi, dia memutuskan untuk meneruskan projek ini.

"Jadi ada dua bekas menteri yang kami cadang untuk panggil kemudian, kalau ada keperluan. Kerana menteri adalah orang yang memutuskan perkara dasar," kata sumber itu, yang enggan namanya didedahkan.

SPRM baru-baru ini melancarkan siasatan ke atas projek 1BestariNet yang dianugerahkan oleh Kementerian Pendidikan kepada YTL Communications Sdn Bhd pada 2011 atas dakwaan pembayaran untuk tuntutan palsu.

Muhyiddin Yassin

Program RM4.47 bilion itu, yang dianugerahkan melalui tender terbuka, bertujuan untuk melengkapkan lebih 10,000 sekolah di seluruh negara dengan perkhidmatan jalur lebar dan mewujudkan persekitaran bilik darjah maya.

Muhyiddin adalah menteri pendidikan ketika itu di bawah pentadbiran Najib Razak.

Sejak siasatan itu dimulakan, SPRM telah merekodkan kenyataan bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik yang memutuskan untuk menghentikan projek itu selepas dia  memegang jawatan berkenaan pada 2018.

Agensi anti rasuah itu juga telah menyerbu pejabat YTL dan sebuah pejabat kerajaan, kedua-duanya di Kuala Lumpur.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi berkata dia tidak menolak kemungkinan pihaknya akan memanggil Mahdzir dan Muhyiddin untuk merekodkan kenyataan mereka berhubung kes itu.

Azam Baki

Katanya, suruhanjaya itu mahu menganalisis semua bukti yang mereka kumpul terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada untuk memanggil bekas menteri itu ataupun sebaliknya.

Ditanya maklumat terkini kes itu, Azam berkata penyiasat SPRM sedang berusaha untuk mengesahkan tuntutan bulanan yang dibuat oleh syarikat tersebut.

Menurut ketua pesuruhjaya itu, pegawainya telah melawat beberapa sekolah setakat ini untuk menyemak sama ada perkhidmatan telah disampaikan seperti yang didakwa oleh syarikat itu ataupun tidak.

Seperti yang ditunjukkan oleh sumber kepada Malaysiakini, difahamkan antara aspek yang diteliti SPRM ialah syarat kontrak untuk syarikat berkenaan membina menara transmisi di setiap sekolah.

Azam berkata siasatan dijangka meliputi "sebanyak mungkin sekolah". Dia menganggarkan proses itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya beberapa bulan, memetik SPRM mempunyai bilangan pegawai yang terhad dan proses penelitian yang terbabit.

“Sehingga minggu lalu, kita telah merekodkan keterangan sekurang-kurangnya 30 saksi termasuk pegawai Kementerian Pendidikan, kakitangan syarikat dan lain-lain.

“Antara cabaran yang kita hadapi ialah berjumpa dengan  pegawai menteri yang terlibat dalam mengendalikan proses perolehan projek itu, kerana ramai daripada mereka telah bersara.

"Kami juga sedang menunggu beberapa lagi dokumen daripada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS