Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ujian sebenar PH-BN pada PRU16, pembebasan Najib keutamaan Umno'
Diterbitkan:  Oct 9, 2024 11:43 AM
Dikemaskini: 5:45 AM
1

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi bersependapat dengan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang adalah medan sebenar untuk kerajaan perpaduan.

Sambil menekankan kepentingan bagi menteri dan kerajaan membuktikan kepada rakyat bahawa mereka berprestasi tinggi, dia juga membidas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan mengulangi komitmen Umno dalam memperjuangkan kebebasan bekas presidennya Najib Razak.

“(Seharusnya) tidak ada formula karut dan jadi bahan jenaka. Bagi Umno, isu Najib tetap isu utama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Walaupun Puad tidak menyebut nama Rafizi, istilah "formula" jelas merujuk kepada timbalan presiden PKR itu, yang pernah dinobatkannya sebagai "Raja formula" bersama bekas ahli parlimen DAP Tony Pua.

Mengulas lanjut mengenai pilihan raya umum akan datang, Puad berkata ia akan menentukan sama ada gabungan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui oleh Anwar Ibrahim akan terus berkuasa atau diturunkan sebagai kerajaan sepenggal.

“Ujiannya di PRU-16. Ia melibatkan pembahagian kerusi, persafahaman jentera dan manifesto. 

“Kuncinya trust. Jika momentum (PRK) Mahkota kekal dan terus diperbaiki tidak mustahil Kerajaan Perpaduan menang besar.

“Apatah lagi jika tempoh hingga bulan Disember 2027 tidak dipersia siakan,” katanya lagi.

Liew Chin Tong (tengah)

Sebelum ini, Liew, yang menyebut pilihan raya umum akan datang sebagai ujian sebenar kepada kerajaan, berkata usaha mesti dilakukan untuk meyakinkan rakyat negara ini bahawa ahli dan penyokong DAP mahu bersama-sama membina negara demi generasi akan datang.

Pada perhimpunan agung tahunan Umno Ogos lalu, setiausaha agungnya, Asyraf Wajdi Dusuki berikrar bahawa usaha untuk membebaskan Najib dari penjara akan diteruskan.

Dia juga mendedahkan bahawa jumlah usul tertinggi yang dikemukakan kepada kepimpinan parti adalah untuk meminta pengampunan penuh buat Najib.

“Ibu pejabat menerima usul daripada 171 bahagian dan daripada itu, 72 bahagian meminta kami terus menuntut keadilan dan pengampunan penuh untuk ‘Bossku’ Najib.

“Selagi ‘Bossku’ terperangkap di sebalik jeruji besi, suara dan usaha Umno (membebaskan Najib) tidak akan pernah henti,” tambahnya.

Najib telah menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 2022 berikutan sabitannya dalam kes SRC International. Dia pada asalnya dijatuhi hukuman 12 tahun tetapi tempoh itu dikurangkan separuh oleh Lembaga Pengampunan.

Bekas perdana menteri itu juga sedang dibicarakan untuk pertuduhan lain berkaitan skandal penyelewengan 1MDB.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS