Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hampir RM40 bilion diperuntuk bagi projek prasarana di Sabah

Kerajaan memperuntukkan hampir RM40 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur awam di Sabah termasuk pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Fasa 1A dan Fasa 1B.

Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan berkata kira-kira RM13 bilion daripada jumlah itu merupakan projek infrastruktur di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) melibatkan 488 projek manakala LPB Fasa 1A dan Fasa 1B pula bernilai RM26.6 bilion.

Dia berkata 488 projek KKR itu termasuk 47 projek pembinaan jalan raya, jambatan dan bangunan dengan peruntukan RM5.78 bilion, 200 projek infrastruktur desa dan wilayah (RM5.04 bilion), 200 projek sekolah daif (RM1.71 bilion) dan 41 projek klinik serta hospital berjumlah RM0.43 bilion.

“Projek ini dikendalikan KKR dan Kementerian Kewangan serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah untuk manfaat negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat JKR Sabah di Kota Kinabalu, semalam.

Sementara itu, Ahmad berharap kelewatan pembinaan Fasa 1A LPB tidak akan berulang dalam Fasa 1B dengan berpandukan kepada objektif 5K iaitu kesejahteraan rakyat, kepantasan tindakan, kos yang munasabah, kualiti yang terjamin dan kebitaraan inovasi.

Dia berkata untuk mencapai 5K itu perlu ada pasukan 'ABCDE' iaitu akrab, bijaksana, cekap, dedikasi dan etika yang tinggi kerana kerajaan Madani amat menitikberatkan soal tatakelola.

Dalam pada itu, Ahmad berkata pengguna jalan raya juga boleh memuat naik aplikasi MYJalan bagi membolehkan mereka membuat aduan kerosakan jalan raya agar tindakan segera dapat diambil.

“Aplikasi ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim tahun lepas lagi dan saya harap ia akan dimanfaatkan,” katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS