Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan 3 lelaki disyaki dera kanak-kanak
Diterbitkan:  Oct 8, 2024 9:45 PM
Dikemaskini: 1:45 PM

Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes penderaan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di sebuah rumah di Batu 4, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Maslan Udin, berkata pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita berumur 67 tahun yang melaporkan kanak-kanak terbabit ditemui dalam keadaan menangis dengan kesan luka di tubuhnya pada 3 Okt lalu.

Kata Maslan, siasatan mendapati kanak-kanak itu merupakan kematian bapa dan ditinggalkan ibu kandung sejak kecil sebelum dia dijaga pengadu di Klang, Selangor.

Kanak-kanak terbabit, menurut Maslan, kemudian diserahkan kepada bapa angkat pada 2021.

"Sepanjang tempoh di bawah jagaan pengadu, mangsa dalam keadaan baik dan sentiasa berhubung melalui paggilan video dan telefon sehinggalah pada awal bulan ini mangsa gagal dihubungi.

"Anak pengadu pergi ke rumah bapa angkat kanak-kanak itu dan mendapati mangsa dalam keadaan cedera, menangis dan diletakkan di atas lantai tanpa berpakaian," katanya dalam kenyataan di Port Dickson hari ini.

Maslan berkata bertindak atas maklumat yang diterima, semua suspek yang berusia dalam lingkungan 32 hingga 36 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 pagi pada 3 Okt lalu di lokasi berasingan iaitu di Taman Desa Rusa dan Taman Dataran Segar, Lukut.

Katanya mangsa yang berada dalam bilik di salah sebuah rumah itu juga berjaya diselamatkan.

“Suspek bekerja sebagai jurusolek. Hasil semakan rekod mendapati semua suspek mempunyai pelbagai kesalahan lampau melibatkan dadah dan jenayah.

"Ujian saringan air kencing pula mendapati salah seorang suspek positif dadah.

“Soal siasat awal mendapati punca suspek memukul mangsa ialah kerana mangsa degil dan membuang air kecil di merata tempat di dalam rumah," katanya.

Menurut Maslan polis juga merampas senjata yang disyaki digunakan untuk mencederakan mangsa iaitu rotan bulu ayam dan pemanas air.

Katanya suspek kini direman di Balai Polis Port Dickson sehingga Khamis sebelum pendakwaan dibuat terhadap salah seorang suspek lelaki, manakala yang lain dijadikan saksi pendakwaan.

Menurut Maslan, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS