Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini dilaporkan memutuskan untuk melepaskan Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) daripada pertikaian cukai dan dendanya.
Laporan Sin Chew Daily memetik sumber yang menyatakan tunggakan cukai dan denda berjumlah RM83 juta yang dituntu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas Utar akan dihapus kira.
Menurut laporan itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke ketika ditanya berkenaan perkara itu berkata, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican untuk menghantar surat kepada Yayasan Pendidikan Utar (Utaref) untuk memaklumkan perkara itu.
Loke berkata surat itu akan dihantar tidak lama lagi.
Pada minggu lalu, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata menurut LHDN, Utar tidak diberikan status pengecualian cukai, tidak seperti Utaref yang mendapat pengecualian itu pada 1 Julai 2003 mengikut Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Sehari kemudian, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata Utar dan Utaref sepatutnya diiktiraf sebagai entiti tunggal, dan tidak bersetuju dengan pengkelasannya sebagai badan berasingan pada masa ini.
Yayasan itu bertanggungjawab menguruskan Utar.
Sementara itu, laporan itu memetik sumber sebagai berkata, LHDN baru-baru ini mengaudit semula Utaref untuk enam tahun terakhir, dan secara rasmi menghantar surat pada Jun lalu berkenaan cukai yang tidak dibayar serta denda.
Selepas menerima surat itu, Utaref menghantar surat kepada Anwar. Yayasan itu juga tidak perlu membayar cukai dan denda yang dikenakan.