Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberi jaminan tidak akan berkompromi terhadap pegawainya yang terlibat dalam ‘sindiket visa perubatan’ untuk membawa masuk warga asing.
Komitmen itu diberikan beberapa jam selepas Malaysiakini mendedahkan siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) terhadap pegawai-pegawainya.
“Dalam hal integriti, JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang terbukti melakukan salah laku.
“Tindakan tegas akan diambil, tanpa mengira pangkat atau jawatan,” kata Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban.
Awal petang ini, memetik sumber, portal ini melaporkan EAIC menyerbu bahagian visa pejabat imigresen minggu lepas, merampas dokumen dan mengambil keterangan pegawai JIM.
Baca: Pegawai imigresen disiasat dalang ‘sindiket visa perubatan’ - sumber
EAIC merupakan badan berkanun persekutuan yang ditubuhkan, antaranya, bagi menyiasat aduan salah laku pegawai penguat kuasa atau agensi penguatkuasaan.
Sumber yang dipetik Malaysiakini mendakwa sindiket ini telah lama berleluasa.
Dia mendakwa sindiket itu membawa masuk warga asing dengan menyediakan visa perubatan kononnya mereka masuk ke negara ini atas tujuan mendapatkan perubatan.
Menurutnya, setiap individu dikenakan bayaran sekitar RM4,500 dengan lebih RM8 juta terlibat dalam sindiket tersebut.
Sementara itu, Zakaria mengesahkan EAIC telah ke ibu pejabat JIM untuk siasatan lanjut dan pihaknya sedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.
“JIM memandang serius dan sentiasa komited dalam memastikan tiada pelanggaran integriti selaras dengan fokus utama iaitu meningkatkan tatakelola, tadbir urus, disiplin dan integriti.
“Ini bagi memperbaiki imej dan reputasi jabatan agar kembali dihormati dan disegani,” katanya lagi.