Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu banjir: Pecat dulu MB di negeri dikuasai PAS, kata setpol MB Selangor
Diterbitkan:  Oct 8, 2024 5:34 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Pemuda PAS tidak perlu bermain politik berhubung isu banjir di Selangor baru-baru ini sehingga menggesa supaya menteri besar Selangor diganti kerana negeri-negeri yang dikuasai parti itu juga turut dilanda banjir.

Membidas kenyataan pemimpin PAS Selangor, Setiausaha Politik Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad menyarankan supaya PAS menukar dulu menteri besar di Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis.

Ini kerana negeri-negeri yang dikuasai PAS, katanya, juga tidak terkecuali daripada dilanda banjir.

"Saya konsisten bahawa eloklah mereka menukar dulu menteri besar di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Semalam Perlis dilanda banjir kilat, maka eloklah menteri besar Perlis ditukar juga.

"Itu sekiranya perbandingan hendaklah dilakukan tentang keberkesanan pengurusan bencana di antara Selangor dengan empat negeri di atas.

"Untuk rekod apabila negeri-negeri PAS dilanda banjir, Selangor antara yang terkawal menghulurkan bantuan. Misalnya tahun 2014, Selangor bantu Kelantan sebanyak RM1 juta dan Selangor bantu Terengganu dan Kelantan RM500,000 setiap satu negeri pada tahun 2021 serta tahun 2022. 

"Ini juga belum termasuk bantuan jentera pengurusan bencana dan sukarelawan negeri Selangor," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu pemimpin PAS menyarankan agar Amirudin Shari digantikan dengan menteri besar yang baru selepas dilabel “bodoh sombong” oleh setiausaha politik menteri besar Selangor itu.

Menurut Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Selangor, Kamarul Jamaluddin, langkah menggantikan Amirudin diyakini dapat menyelesaikan isu banjir di negeri itu.

“Perkara ini penting kerana kejadian banjir di Selangor kini terlalu kerap berlaku walau hanya hujan biasa. 

Gambar Hiasan - Kamarul (kiri) bersama Amirudin

“Sampai bila rakyat Selangor perlu hidup dalam keadaan cemas dan risau? Mungkin solusi paling tepat adalah menggantikan Amirudin Shari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin juga mengingatkan Pemuda PAS Selangor kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah mitigas dan pengurusan banjir dalam menangani bencana alam itu.

Dia juga mengingatkan bahawa banjir di Ijok baru-baru ini adalah disebab kegagalan projek tebatan banjir Sungai Buloh yang dianugerahkan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man semasa dia menjadi menteri alam sekitar dan air pada tahun 2020.

"Projek yang sepatutnya siap Dis 2024 itu baru sahaja selesai 70 peratus sewajarnya Pemuda PAS Selangor bertanya apakah kriteria pemilihan kontraktor sehingga kini gagal menyelesaikan projek penting dalam masa yang ditetapkan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS