Paling Popular
Terkini
1

Anggota Majlis Tertinggi Umno Nur Jazlan Mohamed menyatakan kesediaannya untuk menghentikan serangan terhadap Pakatan Harapan (PH).

Keputusan itu dinyatakan kepada Malaysiakini tidak lama setelah presidennya Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan arahan supaya pemimpin Umno berhenti “mengusik” parti rakan.

“Sebagai ahli setia kepada Umno, saya akur arahan presiden,” katanya ringkas ketika dihubungi.


Baca: Tak perlu mohon maaf, Zahid arah pemimpin Umno henti ‘usik’ PH


Zahid sebentar tadi berkata PH tidak perlu membuat sebarang permohonan maaf kepada Umno.

Timbalan perdana menteri juga meminta pemimpin Umno tidak membuat masalah dan berhenti “mengusik” parti rakan demi perpaduan antara parti-parti kerajaan.

Terdahulu, susulan kemenangan berturut-turut dalam dua pilihan raya kecil (PRK), Nur Jazlan menggesa PH memohon maaf kerana berdekad-dekad memberi gambaran buruk kepada partinya.

Katanya, keputusan PRK Mahkota di  Johor akhir bulan lalu menunjukkan tiada parti tunggal dalam gabungan kerajaan boleh mendakwa menjadi tunjang utama dalam pakatan berkenaan.

Zahid semalam telah menyatakan komitmen untuk menjaga kerjasama baik antara parti-parti kerajaan.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Kuala Lumpur malam tadi.

Difahamkan Nur Jazlan tidak hadir menyuarat semalam kerana berada di luar negara untuk urusan rasmi sebagai timbalan speaker Dewan Negara.

Sementara itu, Ketua Pemuda BN Johor Azleen Ambros pula memberitahu Malaysiakini, perbezaan pendapat pada masaakan datang akan diuruskan dengan “kematangan dan penuh kedewasaan”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS