Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak perlu mohon maaf, Zahid arah pemimpin Umno henti ‘usik’ PH

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi enggan memanjangkan ketegangan antara pemimpin parti-parti kerajaan.

Dia justeru berkata Pakatan Harapan (PH) tidak perlu membuat sebarang permohonan maaf kepada Umno, manakala pemimpin Umno pula diminta menghentikan serangan.

“(PH) Tidak perlu minta maaf. Jangan usik rakan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita mesti menghormati antara satu sama lain. Yang penting kita mesti mengekalkan keadaan dan situasi perpaduan kerajaan sekarang ini.

“Jangan timbulkan sebarang masalah,” tegasnya dalam sidang media selepas acara berkaitan pengurusan bencana di Putrajaya, hari ini.


Baca: Jazlan akur arahan Zahid Hamidi


Susulan kemenangan berturut-turut dalam dua pilihan raya kecil (PRK), Anggota Majlis Tertinggi Umno Nur Jazlan Mohamed menggesa PH memohon maaf kerana berdekad-dekad memberi gambaran buruk kepada partinya.

Katanya, keputusan PRK Mahkota di  Johor akhir bulan lalu menunjukkan tiada parti tunggal dalam gabungan kerajaan boleh mendakwa menjadi tunjang utama dalam pakatan berkenaan.

Nur Jazlan Mohamed

Zahid juga timbalan perdana menteri bagaimanapun berkata kenyataan Nur Jazlan Mohamed, selain Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh, adalah kenyataan peribadi.

“Selagi presiden parti atau ketua parti tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, kenyataan- kenyataan itu adalah berbentuk peribadi,” tegasnya.

Ahmad Zahid berkata dia telah bertemu dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung kemelut yang melanda.

Anwar (bersongkok) dan Zahid

“Kita ketepikan perbezaan pandangan ini dan kita mesti berjalan ke hadapan untuk jalin kerjasama yang baik bagi menghadapi apa saja kemungkinan termasuk pilihan raya kecil atau pilihan raya umum,” jelasnya.

Diminta mengulas adakah sebarang tindakan akan dikenakan terhadap Nur Jazlan, Ahmad Zahid enggan mengulas lanjut.

“Janganlah tanya,” ujarnya ringkas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS