Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai imigresen disiasat dalang ‘sindiket visa perubatan’ - sumber

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan sindiket counter setting melibatkan pegawai Jabatan Imigresen (JIM).

Seramai 60 individu, termasuk 50 pegawai agensi penguatkuasaan, didakwa bersekongkol dalam kegiatan itu.

Bagaimanapun, dikatakan terdapat satu lagi sindiket yang belum didedahkan.

Menurut sumber-sumber Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen, beberapa pegawai JIM sedang disiasat selepas disyaki terlibat dalam ‘sindiket visa perubatan’ melibatkan warga asing.

Menurut sumber, siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

"Mereka dah serbu pejabat imigresen (bahagian visa) minggu lepas. Rampas dokumen untuk tujuan siasatan.

"Ada pegawai telah dipanggil untuk memberi keterangan," dakwa satu sumber JIM.

EAIC merupakan badan berkanun persekutuan yang ditubuhkan, antaranya, bagi menyiasat aduan salah laku pegawai penguat kuasa atau agensi penguatkuasaan.

Malaysiakini sudah menghubungi pejabat Ketua Pengarah JIM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan EAIC untuk mendapatkan reaksi mereka, namun setakat ini belum ada sebarang maklum balas diterima.

Sementara itu, satu sumber KDN dan seorang ejen pekerja asing yang berpengetahuan mengenai sindiket itu berkata, “setting medical visa” ini telah lama berleluasa.

"Kalau counter setting itu bermaksud membawa masuk warga asing ke negara kita menerusi visa pelancongan, medical visa ini pula membawa masuk warga asing dengan menyediakan visa perubatan kononnya mereka masuk ke negara ini atas tujuan mendapatkan perubatan,” katanya.

Katanya, siasatan baru-baru ini melibatkan kelulusan lebih 20,000 visa perubatan yang diberikan tahun lepas melibatkan satu negeri sahaja.

Katanya, setiap kepala dikenakan bayaran sekitar RM4,500.

"Setahu saya, lebih RM8 juta terlibat dalam sindiket ini," kata ejen itu.

Sumber KDN memberitahu Malaysiakini, selain JIM, beberapa agensi daripada kementerian lain turut terlibat dalam sindiket itu.

"Yang pertama, warga asing kena isi borang untuk visa perubatan. Dan kena ada surat rawatan yang disahkan oleh sebuah agensi kerajaan lagi," dakwanya.

"Di lapangan terbang, warga asing ini masuk melalui counter setting. Setelah masuk ke negara ini, mereka akan hilang untuk beberapa tahun (kerja secara haram)

"Bila nak balik, mereka akan bayar denda tinggal lebih masa dan bayar dalam sekitar RM1,100 sebelum pulang ke negara asal," kata sumber KDN.

Malah, tambahnya, ada kes warga Indonesia yang masuk ke negara menerusi visa perubatan, pulang ke negara asal secara haram melalui peraiaran tanpa membayar sebarang denda.

"Ini sudah berlaku di negara kita melibatkan pegawai-pegawai tertinggi di kerajaan,” dakwanya.

“Mujurlah di bawah kerajaan baru, ada usaha untuk menumpaskan sindiket-sindiket ini.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS