Polis menyiasat Isham Jalil kerana menggesa perdana menteri menyaman Bloomberg susulan laporan berkaitan dakwaan campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bekas pemimpin pusat Umno yang dipecat itu berkata dia dipanggil memberikan keterangan oleh ibu pejabat polis Putrajaya dan akan berbuat demikian petang ini.
Menjangkakan telefonnya akan dirampas, Isham berkata dia akan menjelaskan membuat gesaan terhadap Anwar Ibrahim kerana ia melibatkan dakwaan yang serius.
Katanya, jika benar dakwaan media perniagaan antarabangsa itu, ia memalukan institusi Perdana Menteri Malaysia dan menghakis keyakinan rakyat dan pelabur tentang agenda Anwar untuk memerangi rasuah.
Jika sebaliknya, kata Isham, tindakan boleh diambil supaya Bloomberg menarik balik laporan dan meminta maaf agar reputasi perdana menteri, kerajaan dan rakyat Malaysia dipulihkan.
“Jika tidak ia akan membuka kepada anggapan masyarakat antarabangsa bahawa institusi-institusi di Malaysia ini adalah korup dan mempertahankan korupsi,” katanya.
Pada 26 September, MalaysiaNow memetik Bloomberg melaporkan dakwaan Anwar mengarahkan SPRM tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador.
Laporan memetik sumber itu berkata, ia berhubung pembelian saham dalam sebuah syarikat yang terlibat dalam pembangunan sistem imigresen bernilai RM1 bilion.
Farhash pada Mac lalu dilaporkan memiliki pegangan saham terbesar dalam Heitech Padu Berhad yang disenarai pendek untuk projek berkenaan.
Bagaimanapun HeiTech Padu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada April berkata Farhash tidak lagi menjadi pemegang saham utama.
HeiTech Padu menjadi tumpuan selepas mendapat kontrak besar daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk penyelenggara infrastruktur ICT jabatan itu.
Menulis di Facebook, Isham juga menyindir perdana menteri dan peguam negara untuk menyaman Bloomberg supaya telefon mereka juga dapat dirampas.