Malaysia menyeru komuniti antarabangsa bersatu, mengambil tindakan tegas dan mendakwa rejim Zionis Israel atas jenayah kemanusiaan terhadap rakyat Palestin, menurut Kementerian Luar pada Selasa.
“Masa untuk bertindak telah lama tiba,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan sempena genap setahun kekejaman Rejim Zionis Israel terhadap Palestin.
Kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra menegaskan bahawa Malaysia mengulangi sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Malaysia juga akan terus bekerjasama dengan negara-negara sehaluan untuk memastikan keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menurut kenyataan itu.
“Tragedi Oktober lalu, genap setahun, menjadi peringatan suram tentang keganasan tanpa henti ke atas rakyat Palestin.
“Sepanjang setahun ini, rejim Zionis Israel membunuh secara purata 115 rakyat Palestin setiap hari dan mencederakan 274 lagi, kebanyakannya warga emas, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah.
“Komuniti hancur, dan kawasan di Gaza kini tidak lagi dapat didiami. Dunia tidak boleh terus menutup mata terhadap nyawa yang hilang dan masa depan rakyat Palestin yang dirampas,” menurut Wisma Putra.
Kempen keganasan dan penindasan rejim Zionis Israel dilihat berterusan tanpa henti, meskipun pelbagai rundingan, resolusi PBB dan Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dibuat.
“Rejim ini tetap berdegil, melaksanakan genosid, memperluas penempatan haram, memusnahkan infrastruktur penting dan kini melanggar kedaulatan Lubnan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian menegaskan bahawa pelanggaran undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dan hak asasi manusia, termasuk genosid dan jenayah perang tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman.
“Hanya Israel bertindak tanpa sebarang akibat. Ini tidak boleh diterima. Israel tidak boleh lagi berlindung di sebalik sejarahnya untuk melakukan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin.
“Semua negara mesti segera menghentikan kekejaman ini,” menurut Wisma Putra.