Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PKR tidak setuju cuti hujung minggu Johor ditukar ke Sabtu, Ahad
Diterbitkan:  Oct 8, 2024 11:40 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mengkritik pengumuman bahawa cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar semula kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025.

Menerusi satu hantaran di Facebook, pemimpin lantang dari PKR itu berkata, Jumaat adalah hari yang mulia dalam budaya Islam dan mempunyai pengertian yang besar bagi masyarakat Islam di seluruh dunia.

“Tidak akan jadi Johor mundur jika dikekalkan Jumaat adalah hari cuti bagi Johor di mana memberi penghormatan yang tinggi kepada rakyat Islam di Johor.

“Perubahan untuk menjadikan Jumaat sebagai hari bekerja dan Ahad sebagai hari cuti di Johor pernah berlaku beberapa tahun yang lalu.

“Tetapi perubahan itu tidak bertahan lama kerana rakyat Islam di Johor tidak menyokongnnya,” katanya.

Malah, menurut Hassan, rakyat Johor yang bukan Islam juga menerima hakikat budaya dan sejarah politik Johor mengapa Jumaat adalah hari cuti di Johor.

Tunku Mahkota Ismail

Semalam, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengumumkan bahawa cuti hujung minggu di negeri Johor ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025.

Tunku Mahkota Ismail memaklumkan cadangan berkenaan telah mendapat perkenan dan restu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurut Hassan, cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu di Johor bukan sekadar cuti biasa dan mempunyai makna dari segi sejarah dan budaya Johor.

Justeru, katanya perubahan yang akan berlaku di Johor ini mempunyai makna yang tersendiri iaitu melupakan pengertian budaya dan sejarah politik Johor itu sendiri.

Menurutnya, sebagai rakyat biasa, dan seorang ahli parlimen biasa dari negeri Johor dia tidak boleh berbuat apa-apa mengenai keputusan berkenaan.

“Tetapi saya masih ada satu hak untuk bersuara. Hak itu tidak boleh ditekan dan dirampas dari saya.

“Dengan rendah hati saya selaku anak jati Johor seorang anak Melayu berbudaya Melayu dan beragama Islam yang menghormati sejarah dan budaya Johor maka izinkan saya menzahirkan rasa tidak bersetuju saya dengan perintah yang dibuat oleh  raja pemerintah negeri Johor ini yang ingin menukar hari Jumaat menjadi hari bekerja dengan menggantikan hari Ahad seperti yang dikehendaki penjajah Inggeris selama ini sebagai hari cuti,” katanya.

Johor sebelum ini telah beberapa kali mengubah cuti hujung minggunya.

Negeri di selatan semenanjung itu melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad kali pertama pada tahun 1994 ketika Muhyiddin Yassin menjadi menteri besar.

Bagaimanapun pada 1 Jan 2014, Sultan Ibrahim "mengembalikan tradisi" dengan menukar cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu.

Ia sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan terhadap agama Islam sebagai agama rasmi.

Semalam, Tunku Mahkota Ismail juga mengarahkan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan mufti Johor mengadakan perbincangan berkaitan keputusan terbaru itu.

Baginda juga berharap semua syarikat baik swasta mahupun kerajaan memberi ruang secukupnya untuk waktu solat Jumaat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS