Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai Imigresen hadapi 10 tuduhan rasuah RM55,100

Seorang pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini atas 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM55,150 antara November tahun lepas hingga Februari tahun ini.

Mohd Edisahril Mohd Noor, 41, bapa tiga anak itu didakwa secara rasuah menerima suapan antara RM3,000 hingga RM10,000 daripada seorang lelaki, dengan kesemua wang tersebut dimasukkan ke akaun syarikat milik isterinya di sebuah bank cawangan Bandar Baru Uda di Johor Bahru antara 4 Nov 2023 hingga 23 Feb 2024.

Semua suapan berjumlah RM55,150 itu didakwa sebagai upah kepada tertuduh bagi memudahkan kemasukan penumpang warga Indonesia ke Malaysia tanpa perlu mematuhi syarat ditetapkan Akta Imigresen 1959.

Pendakwaan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd Edisahril yang merupakan Pegawai Imigresen Gred KP22 di Pejabat Imigresen Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, turut mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan pilihan iaitu bersetuju menerima semua wang suapan berkenaan di lokasi dan tarikh yang sama, dengan tertuduh tahu tindakan itu ada hubungan dengan tugas rasminya sebagai pegawai Imigresen.

Bagi kesalahan tersebut pegawai imigresen yang sudah berkhidmat selama 18 tahun itu, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan melaporkan diri ke pejabat SPRM Johor di Johor Bahru sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 10 Nov untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan mewakili tertuduh.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS