Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa tiada bukti kukuh yang menunjukkan Amri Che Mat menjadi mangsa culik.
Pegawai penyiasat, Khor Yi Suen berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding saman berhubung kehilangan paksa aktivis itu di Kangar, Perlis lapan tahun lalu.
Khor berkata siasatan diklasifikasikan sebagai kes orang hilang kerana dua individu yang didakwa menyaksikan penculikan itu tidak dapat membuat pengecaman yang positif.
Menurutnya, dua individu itu - Syed Amri Syed Abd Jalil and Saiful Afdzan Seinei - berada terlalu jauh dari lokasi di mana insiden itu didakwa berlaku dan keadaan juga gelap pada masa itu.
Dia juga berkata mereka - yang juga anggota NGO Perlis Hope seperti Amri - tidak membuat laporan polis dengan segera selepas insiden itu didakwa berlaku.
“Tiada sebarang keterangan mahupun bukti kukuh yang boleh disandarkan untuk menyokong pernyataan plaintif bahawa Amri Che Mat telah diculik pada waktu hampir tengah malam, 24 November 2016, di C33, Kg Padang Behor, 01000 Kangar, Perlis,” katanya dalam afidavit yang difailkannya.
Pada 2019, Suhakam menyimpulkan kehilangan Amri sebagai kes kehilangan paksa yang dilakukan oleh Cawangan Khas Bukit Aman.
Kehilangan paksa adalah tindakan pemenjaraan atau penculikan secara rahsia yang disokong pihak berkuasa, disusuli dengan keengganan untuk menyatakan lokasi dan apa yang berlaku terhadap mangsa, dengan mangsa ditempatkan di kawasan di luar perlindungan undang-undang.
Menerusi tindakan mahkamah yang difailkan selepas keputusan Suhakam, keluarga Amri mahu kerajaan mendedahkan lokasinya.
Semua aspek disiasat
Ketika prosiding di depan hakim Su Tiang Joo hari ini, Khor menafikan siasatan polis hanya bertumpu kepada dakwaan penglibatan Amri dalam penyebaran mazhab Syiah di Perlis.
Ketika pemeriksaan utama oleh peguam kanan persekutuan Zetty Zurina Kamaruddin, Khor berkata siasatan polis meliputi segenap aspek, seperti penglibatan Amri dalam Perlis Hope dan perdagangan pertukaran mata wang asing.
Ketika ditanya Zetty, Khor berkata tiada sekatan jalan raya dibuat antara Malaysia dan sempadan Thailand sejurus selepas kehilangan Amri.
Ini kerana kehilangan Amri diklasifikasikan sebagai kes orang hilang, katanya lagi.
Dia juga berkata pemeriksaan polis dengan syarikat telekomunikasi berkenaan telefon Amri turut mendedahkan lokasi terakhirnya yang diketahui adalah di Kangar.
Prosiding bersambung pada 21 Oktober ini.