Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN persoal cara kerajaan dapatkan Black Hawk
Diterbitkan:  Oct 7, 2024 4:29 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Perikatan Nasional (PN) hari ini mempersoal cara kerajaan yang tidak menggunakan hubungan diplomatik kerajaan kepada kerajaan (G2G) bagi menyelesaikan isu perolehan pesawat tempur Black Hawk.

Ketua Portfolio Pertahanan PN, Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata kerajaan tidak seharusnya menyerahkan tugas berkenaan kepada sebuah syarikat kerana ternyata sehingga kini ia gagal untuk mendapatkan pesawat udara tersebut.

"Kementerian Pertahanan (Mindef) boleh mendapatkan pesawat Black Hawk ini secara G2G sama ada melalui kaedah foreign military sales (FMS) ataupun excess defense articles (EDA) daripada syarikat Sikorsky tanpa memerlukan penglibatan orang tengah.

"Apatah lagi semua urusan perolehan persenjataan/aset dari AS hendaklah melalui kebenaran directorate of defense trade control (DDTC) yang hanya boleh dipohon oleh pihak Mindef saja (selaku wakil kerajaan Malaysia) dengan pihak kedutaan AS di Kuala Lumpur dan tidak boleh dilakukan secara unilateral oleh Syarikat Aerotree Sdn Bhd (Aerotree) tanpa penglibatan Mindef.

"Apakah ini bermakna sekarang ini Mindef perlu bekerja untuk syarikat ini?

"Apakah ‘track record’ syarikat Aerotree dalam perolehan aset udara untuk Angkatan Tentera Malaysia sehingga mereka diberikan kontrak penting seperti ini?" katanya dalam kenyataan.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dijangka menerima helikopter Black Hawk sebelum hujung bulan ini seperti tarikh dipersetujui dalam surat lanjutan kedua dikeluarkan oleh Bahagian Perolehan Mindef.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Mohammad Ab Rahman dilaporkan berkata sekiranya syarikat terlibat masih gagal membuat penghantaran mengikut tarikh ditetapkan, pihaknya akan menggesa bahagian perolehan mengambil tindakan tegas selari dengan syarat ditetapkan dalam surat lanjutan tersebut.

Menurutnya jika kontrak tersebut dibatalkan, helikopter utiliti tempur yang memiliki spesifikasi sama mesti diberikan sebagai ganti bagi memenuhi keperluan operasi serta keperluan staf am pasukan udara TDM.

"TDM berpegang kepada pendirian bahawa perolehan helikopter ini mestilah mematuhi segala perincian dan terma yang digariskan dalam surat setuju terima yang dipersetujui oleh kerajaan Malaysia dan Aerotree," katanya.

Mengulas lanjut, Ikmal Hisham berkata, situasi yang dihadapi Mindef ketika ini membuka ruang kepada pelobi untuk menawarkan perolehan pesawat udara tidak mengikut spesifikasi.

Malah, dakwa ahli parlimen Tanah Merah itu lagi, kaedah sewaan pajakan sehingga 15 tahun yang dicadangkan juga tidak kena dengan tatacara perolehan kerajaan.

"Situasi ini juga membuka ruang kepada pelobi lain untuk menawarkan perolehan pesawat udara yang bukan sahaja tidak sesuai dengan doktrin dan operasi udara berdasarkan kepada keperluan sebenar ATM, malah kaedah sewaan/pajakan selama 15 tahun yang dicadangkan juga seakan tidak kena dengan tatacara atau tatakelola sebenar perolehan kerajaan.

"Seakan mahu meletakkan situasi fait accompli kepada ATM untuk hanya menerima keputusan yang dibuat oleh ahli politik tanpa merujuk kepada persetujuan end user.

"Justeru tak semena-mena sekarang timbul cadangan dan usaha pelobi supaya ATM dibekalkan dengan pesawat jenis AW149 secara sewaan iaitu pesawat udara yang lebih bersifat untuk kegunaan awam di pelantar minyak berbanding kegunaan kombatan," katanya lagi.

Dia yang juga bekas timbalan menteri pertahanan turut mempersoalkan kenapa Mindef tidak menambah pesawat jenis EC725 Caracal kepada skuadron baru sekiranya perolehan Black Hawk terlalu rumit.

Katanya ia selepas mengambil kira kejayaan penggunaan pesawat EC725 ini sejak dari tahun 2012 lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS