Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PANDUANKINI | Mengapa larian Hash House Harriers pakai gaun?
Diterbitkan:  Oct 7, 2024 4:22 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

Dua individu bukan warganegara hari ini mengaku bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan tidak senonoh di khalayak ramai dengan memakai pakaian tersendiri ketika acara larian amal Jumaat lalu.

Lelaki-lelaki berkenaan menyertai Pan Asia International Run 2024 di Johor dengan memakai sari dan skirt, yang merupakan pakaian tradisional masyarakat pribumi di Taiwan.

Apakah acara ini, siapa Hash House Harriers dan mengapa mereka berlari dengan memakai pakaian wanita? Panduankini meneliti perkara ini.

Apa sebenarnya berlaku pada Jumaat lalu?

Menurut laporan berita, 2024 Pan Asia International Run dianjurkan oleh Kelab Hash House Harriers di Desaru, Johor.

Laman webnya menyatakan bahawa larian itu berlangsung dari 4 hingga 6 Oktober, termasuk acara yang dipanggil ‘Run Dress Run’.

Siapakah Hash House Harriers?

Hash House Harriers ialah kelab acara larian antarabangsa yang diasaskan di Tanah Melayu pada tahun 1938.

Nama ini dipercayai berasal daripada rujukan kepada “Hash House”, sebuah anjung Kelab Selangor, iaitu tempat di mana ramai pegawai British tinggal atau bersosial.

Anjung tersebut dipanggil “Hash House” kerana pegawai British tidak suka makanan yang disediakan, dengan "hash" menjadi slanga lama British untuk makanan yang teruk.

Kelab Diraja Selangor terletak berselahan dengan padang yang kini dikenali sebagai Dataran Merdeka.

Pegawai British akan berkumpul setiap Jumaat untuk bermain ‘hare and hounds’, di mana satu atau dua pelari berlari di hadapan dan menabur kertas jejak yang dipotong supaya dijejaki oleh "hounds".

Selepas larian, kumpulan itu akan berkumpul untuk minum, biasanya bir.

Tradisi ini diteruskan sehingga hari ini di banyak cawangan di seluruh dunia, dengan istilah khas, permainan, dan adat yang unik dikongsi oleh ahli-ahlinya.

Disebabkan budaya minum arak yang kuat, Hash House Harriers kadang-kadang dijuluki dengan seloroh “kelab minum dengan masalah larian”.

Adakah mereka selalu berlari dengan pakai pakaian wanita?

Tidak, tiada kod pakaian khusus untuk semua ‘Hash Runs’, tetapi ada sesetengah larian memerlukan pakaian tertentu dipakai seperti stokin paras lutut.

Dalam satu tradisi yang dipanggil ‘Red Dress Run’, pelari biasanya berlari dengan memakai gaun merah untuk mengumpul dana bagi tujuan amal.

Ia bermula secara tidak sengaja pada tahun 1987, apabila seorang wanita bernama Diana Rhinehart mengembara ke California Selatan untuk melawat rakan sekolahnya.

“Tidak lama kemudian, dia dibawa ke Long Beach, di mana rakannya berniat untuk memperkenalkannya kepada kumpulan larian pelik yang dipanggil ‘Hash House Harriers’.”

"Seorang ahli kumpulan, yang memerhatikan jantina dan pakaian wanita tersebut, menyuruhnya untuk “tunggu sahaja di dalam trak” sehingga rakannya kembali. Disebabkan provokasi itu, dia menyertai larian itu dengan memakai gaun merah dan kasut tumit tinggi, yang akhirnya menjadi peristiwa bersejarah," menurut laman web rasmi Red Dress Run.

Sejak itu, cawangan Hash House Harriers di seluruh dunia menganjurkan Red Dress Runs secara berkala untuk mengumpul dana bagi tujuan amal.

Menurut penganjur acara di Desaru, acara itu berjaya mengumpul RM10,100 yang akan didermakan kepada kanak-kanak spastik quadriplegia cerebral palsy melalui persatuan di Johor Bahru.

Mengapa ia menjadi kontroversi kali ini?

Larian itu menjadi kontroversi selepas gambar-gambar larian tersebut tular.

Gambar-gambar tersebut menunjukkan lelaki memakai kaftan atau gaun, sementara seorang lagi peserta dilihat memakai pakaian yang mendedahkan punggungnya.

Lima lelaki, termasuk dua rakyat Malaysia, berumur antara 39 hingga 70 tahun ditahan selepas mendapat kritikan orang ramai.

Tiga daripada mereka ditahan pada 5 Oktober manakala dua lagi ditahan semalam (6 Oktober).

Isu ini juga mencetuskan gesaan di kalangan ahli politik untuk mengharamkan Red Dress Run kerana didakwa “mempromosikan LGBT”.

Namun adakah ia berkaitan dengan komuniti LGBT?

Tidak sama sekali. Penganjur acara menegaskan bahawa ia hanyalah larian amal mengikut tradisi Hash House Harriers.

Apa yang berlaku kepada lelaki yang ditangkap?

Dua daripadanya, warga India, Satyanarayana Prasad Papoli, 70, dan warga Taiwan, Arthur Wang, 66, mengaku bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan tidak senonoh di khalayak ramai.

Mereka kemudian didenda RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini (7 Oktober).

Satyanarayana berlari dengan memakai sari manakala Wang memakai pakaian masyarakat pribumi Taiwan.

“Selama 10 tahun yang lalu, saya telah mempromosikan budaya masyarakat Orang Asli Pulau Orchid di Taiwan. Kalau saya tahu pakaian ini dianggap tidak senonoh (di sini), saya tidak akan memakainya,” kata Wang.

Apa yang berlaku kepada tiga yang lain?

Tidak jelas apa yang terjadi kepada lelaki-lelaki lain atau siapa mereka. Mereka adalah dua rakyat Malaysia berusia 39 dan 70 tahun serta seorang warga asing berusia 49 tahun.

Kebiasaannya media tidak menyiarkan identiti individu yang ditahan atas dakwaan jenayah sehingga mereka didakwa secara rasmi di mahkamah.

Polis memaklumkan ujian dadah ke atas mereka menunjukkan keputusan negatif, manakala siasatan mendapati individu tersebut tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

Jadi tiada kaitan dengan komuniti LGBT?

Langsung tiada.

Ketua Polis Johor, M Kumar berkata penganjur acara, Johor Bahru Hash House Harriers, tidak mempromosikan atau menyokong sebarang elemen yang boleh menimbulkan ketidakselesaan atau melanggar sensitiviti agama atau budaya di negara ini.

Bagaimanapun, ini tidak menghentikan ahli politik seperti Adun Penawar, Fauziah Misri, untuk mendesak tindakan terhadap penganjur acara kerana “mempromosikan LGBT”.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zakarshi, juga mendesak pihak berkuasa untuk mengharamkan acara Hash House Harriers pada masa akan datang di Malaysia.

“Buat apa bawa tradisi Hash House Harriers di negara ini. Banyak budaya negara dan Johor yang boleh diguna untuk larian amal, bukannya dengan berpakaian nampak punggung dan promosikan LGBT,” katanya.

Adakah terdapat kontroversi lain berkaitan dengan Hash House Harriers?

Dalam tempoh bertahun lalu, kelab ini pernah dikritik kerana mencemarkan laluan pendakian apabila “hare” meninggalkan kertas jejak untuk diikuti oleh “hounds”.

Bagaimanapun, kini terdapat usaha oleh cawangan Hash House Harriers untuk memastikan cebisan kertas atau penanda lain seperti kapur atau tepung dibersihkan dalam masa 24 jam selepas larian.

Pada tahun 2017, seorang ahli dari cawangan Seletar, Singapura ditahan selepas kumpulan tersebut meninggalkan tanda tepung di bawah jambatan MRT untuk menandakan laluan larian.

Serbuk putih itu mencetuskan kecurigaan dan stesen tersebut ditutup selama kira-kira tiga jam sementara beberapa kenderaan dan anggota polis serta Pasukan Pertahanan Awam Singapura, termasuk pakar Kawalan Bahan Berbahaya, dihantar untuk menyiasat kes tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS