Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fadhli tarik balik pujian lepas Anwar kata serbuan Swatch keterlaluan
Diterbitkan:  Oct 7, 2024 4:06 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Dalam tindak balas sinis, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari hari ini "memohon maaf" kepada menteri dalam negeri dan kerajaan kerana mengucapkan tahniah kepada pentadbiran Putrajaya atas tindakan mereka merampas jam tangan Swatch yang mempunyai unsur-unsur promosi hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ+) tahun lalu.

Pemimpin PAS itu berkata demikian selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam temu bual dengan wartawan penyiaran British-Amerika Mehdi Hasan minggu lalu berkata, bahawa dia tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil.

“Saya dengan ini memohon maaf kepada menteri KDN dan kerajaan Malaysia kerana telah mengucapkan tahniah di dalam Dewan Rakyat pada 13 Jun 2023 ekoran tindakan KDN merampas jam yang mempunyai unsur-unsur promosi LGBT. 

“Rampasan itu disahkan kemudiannya oleh menteri  (Saifuddin Nasution Ismail) bahawa ia berdasarkan kepada unsur-unsur yang jelas promosi terhadap budaya songsang yang dilarang di dalam agama dan undang-undang negara ini.

“Walau bagaimanapun, saya terpaksa memohon maaf kerana tersalah mengucapkan tahniah itu ekoran pendirian terbaru perdana menteri dalam satu wawancara baru-baru ini bahawa beliau tidak bersetuju dengan rampasan itu,” kata Fadhli dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dalam wawancara dengan Mehdi, Anwar dilaporkan berkata: "Kami telah beritahu mereka. Ia keputusan yang diambil oleh jabatan tertentu. Mereka keterlaluan. "

Pada bulan Mei tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri menyerbu kedai-kedai Swatch di seluruh negara yang memaparkan koleksi Pride yang terdiri daripada jam tangan dalam pelbagai warna pelangi - yang diterima pakai sebagai simbol komuniti LGBTQ+.

"Swatch berbangga menjadi kanvas di pergelangan tangan untuk orang ramai di seluruh dunia dan ramai artis yang bekerja dengan kami.

"Kreativiti dan warna yang digayakan dengan kualiti buatan Switzerland adalah apa yang kita cintai.

"Koleksi jam tangan kami dengan warna pelangi serta membawa mesej damai dan cinta boleh membahayakan sesiapa," kata Ketua Pegawai Eksekutif Swatch Group Nick Hayek Jr sebagai berkata selepas serbuan itu.

Pada 22 Ogos tahun lalu, Saifuddin mempertahankan tindakan kementeriannya, susulan aduan dan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sebulan kemudian, Anwar apabila dipersoalkan oleh wartawan CNN, Christiane Amanpour, berkata kerajaan mesti menghormati konsensus rakyat yang tidak mahu unsur LGBTQ+ dipaparkan secara terbuka.

"Tetapi adakah kita kemudian pergi mengganggu mereka? Itu subjek yang berbeza. Saya tidak merestui sebarang cubaan mengganggu,” katanya.

Berdasarkan itu, Fadhli berkata jika perdana menteri tidak bersetuju dengan tindakan oleh agensi kerajaan, maka serbuan berkenaan tidak lagi mempunyai merit dari sudut punca kuasa.

“Saya mohon maaf sekali lagi kerana mengucapkan tahniah atas rampasan itu. Jika perlu, saya sedia menarik balik ucapan tahniah itu di dalam Dewan Rakyat nanti," kata ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS