Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MP Bangi tolak tafsiran Zaid mengenai RUU Mufti
Diterbitkan:  Oct 7, 2024 3:26 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, menolak kenyataan bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim kerana didakwa salah mentafsirkan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024.

Menerusi laman X, Syahredzan menjawab dakwaan Zaid bahawa RUU tersebut akan menyebabkan fatwa yang dikeluarkan terpakai di seluruh negara, dengan menyatakan bahawa dakwaan itu tidak tepat.

Dia menjelaskan bahawa peruntukan serupa sudah ada di peringkat negeri dan RUU tersebut hanya terpakai di Wilayah Persekutuan.

"Peruntukan berkaitan fatwa dalam rang undang-undang Mufti ini bukanlah perkara baru. Banyak peruntukan dalam enakmen negeri berkaitan fatwa mufti mengikat umat Islam,” katanya menerusi tweet hari ini.

Terdahulu, Zaid membantah RUU tersebut dengan mendakwa ia adalah contoh jelas pentadbiran autoritarian di bawah kerajaan Madani.

Zaid memberi amaran bahawa sebaik sahaja RUU itu diluluskan, ia akan membolehkan mufti menggunakan pengaruh besar di peringkat persekutuan.

Menurutnya, jika Mufti Wilayah mengeluarkan fatwa mengharamkan tembakau atau mengarahkan umat Islam hanya makan di restoran yang mempunyai sijil halal, fatwa-fatwa tersebut akan mengikat secara undang-undang di Wilayah Persekutuan.

Dia mempersoalkan sama ada kebebasan peribadi masih wujud di bawah peraturan sedemikian, dengan memberi contoh makan di tempat yang tidak mempunyai sijil halal seperti restoran sushi atau tiram, yang boleh menjadi satu kesalahan.

Zaid turut menyatakan kebimbangan bahawa hak-hak perlembagaan, seperti memilih tempat makan, boleh memberi kesan di bawah pentadbiran kerajaan Madani.

Syahredzan menjelaskan bahawa Zaid mungkin tidak mengetahui mengenai Akta 559, yang berkaitan kesalahan terhadap perintah mufti yang dikeluarkan melalui fatwa di Wilayah Persekutuan.

"Peruntukan ini juga serupa dengan banyak enakmen negeri. Namun, meskipun begitu, kita bukan negara yang 'diperintah oleh mufti' seperti yang beliau gambarkan,” katanya.

Dia turut menjelaskan bahawa pengeluaran fatwa melibatkan Jawatankuasa Fatwa dan Yang di-Pertuan Agong, yang memastikan terdapat mekanisme semak dan imbang.

"Proses pengeluaran fatwa di bawah rang undang-undang ini juga bukan sekadar atas kehendak mufti semata-mata.

"Untuk memberikan gambaran bahawa Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam menyerahkan kuasa kepada mufti adalah tidak benar sama sekali. Raja-Raja Melayu ada dan akan terus mempunyai kuasa terakhir dalam hal-hal agama Islam," tambahnya.

Walaupun mengakui RUU itu mempunyai kekurangannya, Syahredzan menggesa Zaid untuk lebih bertanggungjawab dalam kenyataannya, terutama memandangkan dia pernah menjawat jawatan menteri undang-undang.

"Lebih-lebih lagi apabila kenyataannya, walaupun kurang tepat, akan dipetik oleh media arus perdana," tambahnya.

Pada 29 September, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar mengumumkan bahawa kerajaan akan meneruskan bacaan kedua dan ketiga rang undang-undang tersebut.

Na’im menyatakan bahawa bacaan pertama dilakukan pada sidang Parlimen Julai, dan tiada pindaan dibuat sejak itu.

Pada Julai, Malay Mail melaporkan bahawa Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, merupakan antara pengkritik paling lantang terhadap RUU itu. Dia menggesa kerajaan untuk mencerminkan kepelbagaian masyarakat dan agama Islam.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Jamalullail, turut menyuarakan kebimbangan mengenai RUU itu yang mmebawa kepada "tafsiran sempit" dan menjelaskan bahawa baginda tidak bersetuju Majlis Raja-Raja diheret dan digunakan bagi menyokong RUU itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS