Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengumumkan bahawa cuti hujung minggu di negeri Johor ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025.
Tunku Mahkota Ismail memaklumkan cadangan berkenaan telah mendapat perkenan dan restu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
"Selepas mendapat perkenan dan restu kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
"Saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad," titah baginda dalam satu hantaran di Facebooknya.
Johor sebelum ini telah beberapa kali mengubah cuti hujung minggunya.
Johor melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad kali pertama pada tahun 1994 ketika Muhyiddin Yassin menjadi menteri besar.
Bagaimanapun pada 1 Jan 2014, Sultan Ibrahim "mengembalikan tradisi" dengan menukar cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu.
Ia sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan terhadap agama Islam sebagai agama rasmi.
Sementara itu Tunku Mahkota Ismail bertitah yang baginda mengarahkan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan mufti Johor mengadakan perbincangan berkaitan keputusan terbaru itu.
‘Beri ruang untuk solat Jumaat’
Selain berharap semua syarikat baik swasta mahupun kerajaan memberi ruang secukupnya untuk waktu solat Jumaat.
"Saya juga menitahkan agar Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan mufti negeri Johor mengadakan perbincangan dan meneliti perkara ini dari setiap sudut dan aspek.
"Saya berharap agar semua syarikat-syarikat swasta, pihak kerajaan serta pihak yang berkaitan akan memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk para pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat pada waktunya," titah baginda lagi.