Pemuda PAS Selangor mengecam kerajaan negeri itu kerana didakwa masih gagal menguruskan masalah banjir yang berulang kali melanda walaupun sudah mendapat peruntukan yang tinggi.
Ketuanya Mohamed Sukri Omar mendakwa penduduk Selangor memang sudah jemu melihat kegagalan kerajaan negeri itu menguruskan krisis tersebut.
"Untuk makluman, Selangor adalah antara penerima peruntukan tebatan banjir yang tertinggi.
"Pada 2022, perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob mengumumkan RM6.3 bilion bagi projek tebatan banjir.
"Pada 2023 pula, Anwar Ibrahim mengumumkan RM1.1 billion untuk projek tebatan banjir untuk negeri Selangor," katanya dalam kenyataan semalam.
Beberapa kawasan di tiga daerah dalam Selangor dinaiki air tiga hari lalu dan menyaksikan hampir 2,000 orang berlinding di pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, tiga daerah yang terbabit dengan banjir itu ialah Gombak, Shah Alam dan Kuala Selangor.
Mohamed Sukri berkata sangat memalukan apabila Selangor terus berdepan dengan masalah banjir sedangkan negeri itu dianggap paling maju di ngeara ini.
Selangor juga, katanya, menjadi penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) namun negeri tersebut terus dibelenggu masalah banjir.
"Tidak mustahil Selangor sudah tidak digemari oleh pelabur kerana isu banjir yang sering melanda.
"Ini dapat dilihat pada 2022 Selangor berada di tangga kedua dalam menerima pelaburan asing bagi sektor pembuatan, tetapi kemudian jatuh ke tangga ketiga pada 2023.
"Bagi suku pertama 2024, Selangor gagal menempatkan diri dalam lima tempat tertinggi," katanya.
Persoalan sekarang, kata Mohamed Sukri, ialah berapakah jumlah peruntukan yang diperlukan oleh Selangor bagi menyelesaikan masalah banjir di negeri itu.
Dia juga membangkitkan persoalan bahawa ada kemungkinan kerajaan negeri mengalami isu kompetensi apabila menteri besar dan exconya tidak mampu menguruskan negeri.
Seterusnya Pemuda PAS Selangor menyarankan agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberikan fokus yang lebih banyak kepada Selangor berbanding Kedah agar masalah tersebut dapat ditangani.
Kerajaan Kedah dan menteri besarnya, kata Mohamed Sukri, terbukti berjaya menguruskan negeri itu dengan baik.
"Jangan jadi seperti peribahasa kuman di seberang laut nampak, gajah di pelupuk mata tidak nampak," katanya.