Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Larian ‘songsang’ - Dua suspek warga emas didakwa hari ini
Diterbitkan:  Oct 7, 2024 10:50 AM
Dikemaskini: 3:00 AM

Dua suspek warga asing kes berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 yang ditahan Sabtu lepas akan didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota Tinggi hari ini. 

Ketua Polis Johor M Kumar berkata kedua-dua lelaki warga emas berusia 66 dan 70 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan. 

"Kita telah selesai menjalankan siasatan berhubung kes penganjuran program Larian Pan Asia 2024 yang menyentuh sensitiviti agama dengan segelintir peserta berkelakuan tidak senonoh dan lucah di tempat awam di kawasan Desaru, Bandar Penawar di sini baru-baru ini. 

"Susulan itu, kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan negeri semalam dan kita menerima arahan untuk pertuduhan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Semalam, media melaporkan tiga lelaki termasuk dua warga asing ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden terbabit dan polis turut merampas pakaian serta aksesori mereka ketika larian itu. 

Kumar berkata, pihaknya juga melakukan tangkapan baru membabitkan dua lelaki, semalam. Ini termasuk seorang lelaki warga tempatan berusia 70 tahun yang ditahan pada jam 6 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Menurutnya, seorang lelaki warga asing berusia 49 tahun ditahan di sebuah penginapan di Desaru, Kota Tinggi di Johor Bahru pada jam 8 malam.

Sabtu lalu, polis menahan menahan tiga lelaki berusia antara 39 tahun hingga 70 tahun di sebuah hotel di Desaru selepas dipercayai berpakaian tidak senonoh dan lucah.

Bagaimanapun seorang lelaki sudah dibebaskan.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program larian antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi.

Tangkapan dilakukan oleh sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di sebuah hotel di Kota Tinggi pada jam 10 malam kelmarin.

Polis turut merampas pakaian serta aksesori yang dipercayai dipakai ketika larian terbabit.

Ia termasuk sari berwarna merah, skirt warna merah, tiga keping kadbod berwarna perak dan batang tombak tiruan berwarna perak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS