Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Haramkan penganjur ‘red dress run’, kata ahli MKT Umno
Diterbitkan:  Oct 7, 2024 9:42 AM
Dikemaskini: 1:42 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi mahu penganjur acara larian amal di Kota Tinggi, Johor, diharamkan terus.

Dalam satu hantaran di Facebook, speaker DUN Johor itu berkata, apa yang dilakukan oleh penganjur itu sebenarnya bukan mempromosikan Johor tetapi menjahanamkan imej Johor.

“Buat apa bawa tradisi Hash House Harriers di negara ini. 

“Banyak budaya negara dan Johor yang boleh diguna untuk larian amal. 

“Bukannya dengan berpakaian nampak punggung dan promosi LGBT,” katanya.

Semalam, Presiden Hash House Harriers, Johor Bahru A Magendran, menjelaskan tujuan larian itu adalah untuk mengumpul dana amal dan mempromosikan negeri Johor, khususnya Desaru.

Katanya, larian itu semata-mata untuk keseronokan dan kebajikan dan mereka bukannya tidak menyokong atau menentang mana-mana kumpulan atau individu berkaitan seksual, dan ia hanyalah larian.

Larian amal bertemakan 'Red Dress Run' itu adalah tradisi Hash House Harriers sejak 1968, di mana peserta memakai pakaian bertema merah.

Semalam, polis menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing bagi membantu siasatan berhubung program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi, Sabtu lalu.

Sebelum ini dilaporkan bahawa tiga peserta— seorang lelaki Taiwan berpakaian tradisional, seorang warga India yang memakai sari bersama blaus, dan seorang lelaki tempatan memakai pakaian tidur—menarik perhatian kerana pakaian luar biasa mereka.

Peserta dari Taiwan tersebut tidak memakai baju dan bahagian punggungnya dikatakan terdedah.

Mengulas lanjut, Puad juga menolak dakwaan bahawa pihak penganjur mungkin terlepas pandang.

“Mana mungkin penganjur terlepas pandang. Sepatutnya mereka boleh nampak pakaian peserta dan boleh halang dari awal lagi penyertaan mereka atau ketika sedang berlari. 

“Batalkan sahaja lesen mereka dan haramkan jadi penganjur masa akan datang. Memalukan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS