Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Petai Tapah jadi buruan penggemar
Diterbitkan:  Oct 7, 2024 8:58 AM
Dikemaskini: 3:24 AM

Mempunyai isi yang tebal dengan tekstur rangup, sementara rasanya pula agak lemak serta kurang pedar (pahit dan pedas), menjadikan petai dari daerah Tapah ini dambaan penggemar ulam itu setiap kali tiba musim.

Dikatakan keistimewaan petai Tapah ini disebabkan oleh pokoknya tumbuh di kawasan berbukit dengan ketinggian melebihi 1,000 meter dari aras laut, selain usia pokok yang sudah menjangkau puluhan tahun.

“Ada juga orang beritahu, apa juga tanaman yang ditanam di tempat tinggi, kebiasaannya lebih subur dan berkualiti daripada (pokok yang ditanam di kawasan) tanah rendah,” kongsi Deraman Tulis kepada Bernama ketika ditemui di tepi Jalan Pahang menuju Cameron Highlands, di Tapah baru-baru ini.

Menurut lelaki Orang Asli daripada suku Semai itu lagi, saiz ulas petai dari Tapah juga lebih besar berbanding tempat lain serta kurang berulat dan masih "rangup” sekalipun telah dipetik dan disimpan lebih seminggu.

Deraman, 60, adalah antara orang paling sibuk setiap kali tiba musim petai, iaitu bermula Ogos hingga Disember, selaku peraih yang membeli dan menjual petai secara borong.

Gred petai

Jelasnya,  terdapat tiga jenis petai yang popular dan sering mendapat permintaan tinggi daripada para pelanggan, iaitu petai papan, petai padi dan petai kacang.

“Kalau dari segi permintaan, petai papan menjadi kegemaran orang Melayu dan disukai kerana saiz ulas yang besar, manakala kaum Cina dan India menggemari petai padi yang berulas kecil serta kurang berbau,” katanya.

Menurut Deraman, lazimnya dia dapat menjual 600 hingga 800 ikat petai sepanjang musim dengan setiap ikat mengandungi 90 hingga 100 papan petai.

“Saya biasa jual gred AA hingga C. Kalau gred AA atau premium, biasanya dijual dengan harga sekitar RM100 seikat. Harga gred ini agak mahal kerana setiap pod agak besar dan panjang, mengandungi kira-kira 18 ulas isi.

“Bagi gred A pula dijual dengan harga RM80 seikat, gred B pada harga RM60 manakala gred C  berharga RM50.  Bagi saya rasanya tetap sama, cuma gred dan harga ditentukan mengikut saiz serta bilangan ulas pada setiap pod petai,” jelasnya.

Bapa kepada tujuh cahaya mata itu berkata sepanjang musim ulam berkenaan dia akan berjualan di tepi jalan tersebut yang menjadi laluan pengguna jalan raya ke Cameron Highlands. 

“Kebiasaannya yang membeli hasil petai ini ialah para pelancong tempatan yang menuju Cameron Highlands untuk bercuti atau atas urusan kerja,” katanya.

Bergadai nyawa petik petai

Petai merupakan tanaman kekacang namun pokoknya ialah jenis pokok saka yang boleh tumbuh tinggi hingga 30 meter, khususnya di hutan.

Justeru, untuk memetik buah petai, si pemetik bergadai nyawa memanjat pokok berkenaan. Namun bagi Long Bah Nyek, 42, “menakluki” pokok petai setinggi 15  meter saban hari sepanjang musim sayuran buah itu bukan satu isu besar.

Menyifatkan kerjanya sebagai alah bisa tegal biasa, lelaki Orang Asli suku Semai itu berkata dia telah memanjat pokok petai sejak berusia 21 tahun, dan menerima bimbingan daripada bapanya sendiri yang juga bekerja memetik petai.   

“Setakat ini saya belum pernah jatuh dari pokok petai dan saya amat tekankan aspek keselamatan. Saya tidak panjat kalau hujan kerana ada risiko kilat selain batang pokok licin,” katanya, menambah pemetik petai juga berdepan ancaman serangga berbisa seperti tebuan, lebah dan penyengat.

Mengulas rutin harian sepanjang musim petai, Long berkata kerja-kerja memanjat dan memetik ulaman berkenaan dilakukan pada sebelah pagi serta petang setiap hari.

Tambahnya, dia boleh memanjat sekitar dua hingga tiga pokok sehari dan buah petai yang dipetik dihantar ke pusat pengumpulan milik Koperasi Orang Asli Pos Musoh.

“Saya kerja bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari, kemudian berehat. Sebelah petang saya akan mula balik memanjat sekitar 2 petang hingga 5 petang.

“Kebiasaannya saya mampu petik tiga hingga empat ikat sehari, namun turut bergantung pada keadaan cuaca. Jika musim hujan hasil akan sedikit berkurangan kerana aktiviti memanjat (pokok petai) tidak boleh dilakukan untuk elak risiko jatuh,” katanya.

Menurutnya, kepekaan datuk nenek mereka menanam kesemua pokok petai tersebut membolehkan anak cucu menikmati hasilnya hingga sekarang.

Ke pasar raya

Koperasi Orang Asli Pos Musoh di Tapah merupakan antara koperasi Orang Asli yang aktif mengumpul petai dari hutan setiap kali tiba musim sayuran buah itu bagi memenuhi permintaan pasaran negara.

Sejak setahun lalu, koperasi itu merupakan sumber petai segar bagi rangkaian pasar raya Aeon Co (M) Sdn Bhd dan dijual di cawangan pasar raya berkenaan di beberapa negeri.

Pengerusi Koperasi Orang Asli Pos Musoh Kamal Bah Kan Lok berkata pihaknya menyediakan sekurang-kurangnya 50 kilogram (kg) petai setiap dua minggu kepada syarikat Popular Meadow Sdn Bhd yang berperanan membungkus dan memasarkan produk tersebut ke pasar raya berkenaan.

“Dua minggu sekali saya akan ke Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) Batang Padang untuk disimpan sebelum dibungkus dan dipasarkan oleh Popular Meadow,” katanya.

Beliau berkata setiap kilogram ulas petai dijual pada harga RM40 hingga RM60, namun boleh mencecah hingga RM120 jika di luar musim atau pengeluaran buah  tidak begitu memberangsangkan.

Kamal berkata selain petai, koperasi itu turut membekalkan hasil tanaman lain seperti lengkuas, serai, kunyit, cendawan dan madu kelulut kepada pasar raya  berkenaan.

“Kami ambil inisiatif pelbagaikan hasil tanaman, terutama yang tidak bermusim, bagi meningkatkan pendapatan ahli koperasi,” jelasnya.  

Rezeki Orang Asli

Kerja mengopek ulas petai pula memberikan pendapatan sampingan kepada 15 wanita Orang Asi di pos itu.

Bagaimanapun kata Reny Suriani, 25, kerja berkenaan tidak semudah yang disangkakan kerana mereka perlu memastikan ulas petai tidak rosak.

“Mata pisau tidak boleh sesekali terkena isi. Kalau terkena, ulas petai itu dianggap rosak dan tidak boleh dijual. 

“Jadi, proses ini sebenarnya rumit dan memerlukan fokus bagi memastikan kualiti isi petai itu tidak terjejas dan boleh dijual mengikut harga pasaran,” kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Reny berkata kebiasaannya dia dan rakan lain mampu mengopek kira-kira 60 hingga 70 kg isi petai sehari dengan upah RM4 sejam.

“Saya seronok lakukan kerja ini, dan paling penting dengan wang upah ini saya gunakan untuk membantu suami dalam menampung keperluan harian,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jakoa Daerah Batang Padang dan Muallim Anuar Shafie berkata pihaknya bertindak sebagai pemudah cara dalam kerjasama antara Koperasi Orang Asli Pos Musoh dan Popular Meadow bagi memastikan situasi menang-menang pihak yang terlibat.

“Di pihak kami, pemantauan secara berkala akan sentiasa dilakukan bagi memastikan tiada masalah yang timbul membabitkan kedua-dua pihak,” katanya.

Anuar berkata modul sama juga akan dikembangkan dan disebarluaskan ke kampung Orang Asli sekitar Tapah, bagi menjana pendapatan lebih baik melalui kegiatan pertanian yang dijalankan oleh penduduk.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS