Penganjur acara larian amal di Kota Tinggi, Johor, menafikan dakwaan bahawa acara itu dianjurkan untuk mempromosikan unsur seksualiti.
Sebaliknya, Presiden Johor Baru Hash House Harriers, A Magendran, menjelaskan tujuan larian itu adalah untuk mengumpul dana amal dan mempromosikan negeri Johor, khususnya Desaru.
“Larian ini semata-mata untuk keseronokan dan kebajikan. Kami tidak menyokong atau menentang mana-mana kumpulan atau individu berkaitan seksual—ia hanyalah larian,” kata Magendran seperti yang dilaporkan oleh New Straits Times.
Larian amal bertemakan 'Red Dress Run' itu adalah tradisi Hash House Harriers sejak 1968, di mana peserta memakai pakaian bertema merah, menurut laporan NST.
Sebelum ini dilaporkan bahawa tiga peserta— seorang lelaki Taiwan berpakaian tradisional, seorang warga India yang memakai sari bersama blaus, dan seorang lelaki tempatan memakai pakaian tidur—menarik perhatian kerana pakaian luar biasa mereka.
Peserta dari Taiwan tersebut tidak memakai baju dan bahagian punggungnya terdedah, menurut laporan tersebut.
Bagaimanapun Magendran menjelaskan bahawa para peserta berkenaan bukan berpakaian begitu untuk mempromosikan atau menyokong LGBTQ+, selain pihak polis telah mengambil keterangan daripada ketiga-tiga mereka.
“Kami berjaya mengumpul RM10,100, yang akan didermakan kepada kanak-kanak spastik kuadriplegia cerebral palsy melalui persatuan di Johor Baru.
“Kami hanya fokus untuk memastikan acara berjalan lancar dan terlepas pandang mengenai pakaian para peserta. Larian ini disertai lebih daripada 2,000 peserta.
“Kami sedang bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis, dan kami tidak berniat untuk menyinggung perasaan sesiapa. Ia hanya satu kesilapan," tambahnya.
Terdahulu, Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata suspek yang berusia antara 39 hingga 70 tahun, ditahan di sebuah hotel di daerah itu kira-kira jam 10 malam tadi.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana menghina dan Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam.