Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kanak-kanak GISBH perlu jalani ujian DNA untuk kesan ibu bapa kandung - Peguam
Diterbitkan:  Oct 6, 2024 3:13 PM
Dikemaskini: 7:13 AM

Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan Zainul Rijal Abu Bakar berkata ujian asid deoksiribonukleik (DNA) perlu dilakukan terhadap kanak-kanak yang diselamatkan daripada kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).

Zainul Rijal berkata, sebagaimana yang dilaporkan media sebelum ini, terdapat kemungkinan perkahwinan ibu bapa kanak-kanak tersebut tidak didaftarkan atau tidak mengikut undang-undang dan hukum syarak.

Oleh itu, katanya, ia boleh menyebabkan mereka mungkin menjadi anak tidak sah taraf atau anak wat’ie syubhah (anak yang kesahannya diragukan).

"Dalam Hukum syarak ketiga-tiga anak sah taraf, tak sah taraf atau wat’ie syubhah mempunyai ramifikasi perundangan yang berbeza," kata Zainul Rijal dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata ujian DNA yang mempunyai kadar ketepatan 99.9 peratus perlu dilakukan bagi mengenal pasti ibu bapa kanak-kanak terbabit.

Di Malaysia, katanya, walaupun individu mempunyai hak untuk menolak pungutan sampel DNA di bawah Seksyen 13(7) Akta DNA 2009, namun pihak berkuasa diberi kuasa untuk mengumpul sampel daripada semua orang yang disyaki, tahanan dan banduan untuk tujuan siasatan.

“Setelah dipastikan ibu bapa biologi mengikut keputusan DNA tersebut barulah dilihat kepada upacara perkahwinan ibu bapa tersebut sama ada mengikut undang-undang dan hukum syarak.

“Jika ia tidak mengikut undang-undang tetapi sah mengikut hukum syarak suatu perintah dari mahkamah syariah mestilah diperolehi bagi mendaftarkan upacara perkahwinan dan seterusnya kesahtarafan anak,” katanya.

Bagaimanapun, jika perkahwinan tersebut didapati tidak mengikut hukum syarak, Zainul berkata Mahkamah Syariah akan mengisytiharkan anak-anak terbabit sebagai tidak sah taraf atau "wat'ie syubhah."

Zainul juga turut menekankan bahawa selepas menentukan nasab anak-anak, isu hak jagaan kanak-kanak terbabit mesti ditangani.

Berbeza dengan apa yang diketahui orang ramai, Zainul berkata dalam Islam hak penjagaan kanak-kanak bukan hanya dinamakan hadhanah sahaja.

“Ada banyak jurisprudens Islam yang membicarakan tentang jagaan kanak-kanak seperti al wilayah dan al kafalah mungkin relevan kepada situasi kanak-kanak GISBH ini,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa ibu bapa kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah kebajikan dan rumah anak yatim milik GISBH.

Razarudin juga berkata sebahagian daripada kanak-kanak ini secara salah dilabel sebagai anak yatim oleh pengurusan GISBH dan mengesahkan bahawa sebahagian daripada mereka adalah "bin Abdullah", menimbulkan persoalan tentang kesahihan perkahwinan ibu bapa mereka.

Mengulas lanjut, Zainul berkata Majlis Agama Islam Negeri-Negeri mungkin boleh mengumpulkan suatu dana untuk penjagaan kanak-kanak yang diselamatkan di pusat-pusat tertentu.

Katanya, usaha ini akan melibatkan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan kebajikan kanak-kanak terbabit terpelihara.

“Walau apa pun status anak-anak, kebajikan mereka perlu diutamakan.

"JKM mungkin tidak dapat menampung bilangan kanak-kanak yang terlibat yang ramai. Oleh itu, tempat khusus mungkin perlu diwujudkan untuk mereka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS