Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya minta maaf, demi Allah, kamu layan kami dengan baik'
Diterbitkan:  Oct 6, 2024 1:49 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Wanita Palestin, Aminah Muhammad Nafi' Jamal Abd Rabah yang membuat kecoh di Wisma Transit, Kuala Lumpur baru-baru ini memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas insiden berkenaan.

Menerusi video Tik Tok, Aminah berkata dia sangat menyesal atas perbuatan itu dan mengakui rakyat Palestin yang berada di negara ini menerima layanan baik.

Aminah berkata, perbuatan itu dilakukan dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat menghubungi anak-anaknya yang berada di Gaza.

"Saya minta maaf dan sangat menyesal apa yang telah saya lakukan. Saya bersumpah dengan nama tuhan, saya tidak buat dengan sengaja. Kami sedang melalui situasi dan keadaan yang sangat sulit yang hanya Allah yang tahu.

"Selain itu sudah seminggu saya tak boleh hubungi anak-anak saya (di Gaza). Tiada komunikasi dan saya tidak dapat tahu apa-apa tentang mereka di sana.

"Saya bersumpah atas nama Tuhan, saya mohon maaf atas apa yang dilakukan oleh saya. Serius, kamu adalah orang yang baik, murah hati dan menghormati orang. Dan kami berterima kasih kerana menerima kami dengan layanan yang baik.

"Kamu melayan kami dengan segala kebaikan, rasa hormat dan penghargaan. Kamu sudah melakukan tugas dengan penuh tanggungjawab, tetapi kamilah yang melakukan kesalahan terhadap anda (rakyat Malaysia)," katanya dalam video yang dirakam dalam bahasa Arab dengan sarikata dalam Bahasa Melayu.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kekecohan yang diakukan beberapa individu rakyat Palestin di Wisma Transit baru-baru ini, tidak boleh dijadikan alasan untuk menghantar semua rakyat Palestin pulang ke tanah air mereka.

Saifuddin berkata adalah tidak masuk akal untuk kerajaan berbuat demikian kerana negara mereka sedang terlibat dalam peperangan.

Menteri itu juga meminta rakyat Malaysia supaya tidak membuat sebarang kesimpulan umum berdasarkan kejadian itu dan menyalahkan semua rakyat Palestin.

Duta Besar Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali turut mengecam insiden tular yang melibatkan dua wanita Palestin itu dan menjelaskan ia tidak menggambarkan kelakuan rakyat Palestin secara umumnya.

Susulan kejadian itu, kakitangan kedutaan itu melawat pusat itu dan bertemu pegawai keselamatannya serta rakyat Palestin yang terlibat untuk menyelesaikan perkara itu, selain memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS