Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Larian ‘songsang’: Menteri agama seru hormati sensitiviti umat Islam
Diterbitkan:  Oct 6, 2024 12:32 PM
Dikemaskini: 4:38 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar menyeru semua pihak agar menghormati serta memahami sensitiviti umat Islam khususnya dalam aspek ketetapan hukum-hakam.

Ia susulan penganjuran larian yang didakwa mempromosikan budaya songsang di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

Mohd Naim berkata, sebarang acara yang boleh mencetuskan polemik serta menggugat kedaulatan agama Islam perlulah dielakkan sama sekali.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh ketegasan Kerajaan Negeri Johor yang telah meminta siasatan dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Semua pihak diseru agar memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengendalikan isu ini. Perpaduan serta keharmonian perlu sentiasa dipelihara demi kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, media melaporkan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri mahupun agensi kerajaannya tiada kaitan dengan penganjuran sebuah larian yang mempromosikan budaya songsang di Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak bagi menganjurkan acara yang menjejaskan sensitiviti agama Islam di negeri ini.

Kata Onn Hafiz, selepas berhubung dengan pihak PDRM dan penganjur, objektif penganjuran acara itu bukanlah seperti yang dinyatakan dan kejadian yang berlaku adalah di luar kawalan pihak penganjur.

Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius isu itu dan menggesa polis menjalankan siasatan lanjut.

Susulan daripada itu, polis menahan tiga lelaki kerana disyaki berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika menyertai larian terbabit.

Ketua Polis Johor M Kumar berkata, individu yang ditahan itu terdiri daripada dua warga asing dan seorang warga tempatan berusia antara 39 hingga 70 tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS