Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mangsa banjir di Perak meningkat, Kedah kembali dilanda banjir

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak terus meningkat pagi ini manakala jumlah mangsa di Selangor menunjukkan penurunan sedikit, sementara Kedah kembali dilanda banjir.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 231 orang daripada 77 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 136 orang daripada 43 keluarga yang direkodkan malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi kenyataan memaklumkan dua PPS baharu dibuka 12 tengah malam tadi di daerah Hulu Perak iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Adika Raja yang menempatkan 13 orang daripada lapan keluarga dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gerik (76 orang daripada 26 keluarga), menjadikan keseluruhan enam PPS dibuka setakat ini.

Di daerah Kerian, dua PPS iaitu SK Changkat Lobak menempatkan 45 mangsa daripada 12 keluarga dan SK Parit Haji Aman Bagan Serai (32 mangsa daripada 10 keluarga), manakala dua PPS yang dibuka di Taiping iaitu SK Matang Gelugor, Matang menempatkan 45 mangsa daripada 13 keluarga dan SK Matang (20 mangsa daripada lapan keluarga).

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), semua daerah di Perak diramalkan mengalami ribut petang ini.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS setakat 8 pagi ini menunjukkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 909 orang daripada 213 keluarga berbanding 975 orang daripada 232 keluarga malam tadi.

Menurut portal InfoBencanaJKM, enam PPS masih beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir dari tiga daerah iaitu Shah Alam, Gombak dan Kuala Selangor.

PPS tersebut ialah Dewan Majlis Perbandaran Selayang Seri Kundang, Balai Raya Kampung Melayu Sri Kundang, SK Desa Aman, Dewan Kenanga Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, SK Ijok dan SK Bukit Badong.

Sementara itu, KEDAH kembali dilanda banjir dengan sebuah PPS dibuka di daerah Kubang Pasu awal pagi ini yang menempatkan 80 orang.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa daripada 26 keluarga itu ditempatkan di SMK Changlun yang dibuka pada 2.30 pagi.

“Hujan lebat sejak petang semalam telah menyebabkan air naik di kawasan rumah mangsa. Semua mangsa adalah dari Kampung Nangmah, Kampung Belakang Sekolah Dato Kembara dan Kampung Kubang Kayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu serta Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar telah melepasi paras bahaya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS