Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekebun boleh kemuka tuntutan akibat serangan haiwan liar - MP
Diterbitkan:  Oct 5, 2024 9:21 PM
Dikemaskini: 1:21 PM

Pekebun yang mengalami kerugian hasil tanaman akibat ancaman haiwan liar boleh mengemukakan tuntutan pampasan terhadap kerosakan yang berlaku.

Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim berkata pembayaran yang diberikan itu merupakan peruntukan yang disediakan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi permasalahan terbabit.

Beliau berkata NRES memperuntukkan RM10 juta untuk membantu penduduk yang terjejas harta benda dan tanaman akibat gangguan hidupan liar sepanjang tahun ini.

"Pekebun yang terkesan dengan serangan haiwan liar seperti gajah perlu hadir ke Pejabat Ahli Parlimen Gua Musang untuk melakukan tuntutan berkenaan.

"Setakat 31 Ogos lepas, hanya RM343,000 daripada RM10 juta yang diperuntukkan ini telah digunakan untuk membayar pampasan membabitkan 95 mangsa di seluruh negara," katanya ketika ditemui pemberita di Gua Musang hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azizi berkata laporan polis berkaitan kejadian yang berlaku juga perlu dilampirkan bersama permohonan tuntutan terbabit.

"Sejak akhir-akhir ini, kita mendapati banyak kejadian gangguan haiwan liar di jajahan ini seperti gajah yang merosakkan tanaman sehingga menyebabkan pekebun mengalami kerugian.

"Jadi, kita mohon mangsa yang tinggal di Gua Musang untuk ambil peluang yang disediakan kerajaan bagi mengurangkan beban yang dialami mereka," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS