Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS jamin tak ubah cara hidup orang bukan Islam jika tawan Selangor

PAS Selangor memberi jaminan tidak akan mengganggu atau mengubah cara hidup rakyat bukan Islam sekiranya PN mentadbir negeri itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Ab Halim Tamuri berkata, rakyat bukan Islam di Selangor tidak perlu bimbang kerana PAS sentiasa menghormati hak kaum-kaum lain di negara ini.

“Rakyat bukan Islam jangan bimbang dengan PAS sebab ini jaminan kita, kita tak akan ganggu atau ubah cara hidup mereka, itu hak mereka.

“Kita akan pastikan PAS bersama PN hanya mahu menjaga kebajikan rakyat,” katanya selepas menghadiri program Munaqasyah ucapan dasar Presiden PAS ke 70 peringkat negeri Selangor di Pusat Konvensyen Bangi, hari ini.

Ab Halim berkata menjadi tanggungjawab untuk PAS terus memberi kefahaman kepada rakyat bukan Islam yang mana perjuangan parti itu juga adalah untuk menjaga kebajikan semua kaum.

Untuk rekod, PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri menerusi Pakatan Rakyat selepas menang di Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Bagaimanapun PAS keluar daripada gabungan itu akibat perbezaan pendapat dengan DAP dan PKR.

Pada masa ini, Selangor ditadbir oleh kerajaan Perpaduan menerusi kerjasama PH dan BN.

Sementara itu, Ab Halim yang juga Adun Paya Jaras berkata rakyat Selangor berhak untuk mendapat yang lebih baik daripada yang ada sekarang.

Katanya, meskipun Selangor merupakan negeri termaju di Malaysia dan antara negeri terkaya, namun hakikatnya rakyat berdepan pelbagai isu asas.

“Antaranya kejadian banjir yang berlaku di sebahagian besar kawasan negeri ini ketika ini iaitu seperti di Sungai Buloh, Selayang, Gombak dan banyak lagi.

“Sepatutnya masalah asas seperti banjir, sampah, longkang tersumbat seperti ini tidak menjadi isu sebab Selangor merupakan negeri maju.

“Sebab itu saya cakap rakyat Selangor sepatutnya dapat yang lebih baik,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu banjir, Ab Halim berkata pihaknya akan menghantar memorandum kepada Kerajaan Pusat supaya menyegerakan program rancangan tebatan banjir termasuk di Sungai Buloh bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku ketika ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS