Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bukan budaya PAS cakap kasar, sakitkan hati jika tak setuju'

Ketua Penerangan PAS Pusat Ahmad Fadhli Shaari berkata parti itu menerapkan pendekatan untuk tidak menggunakan bahasa kasar dan menyakitkan hati sekiranya tidak bersetuju dengan mana-mana pihak.

Ahmad Fadhli berkata demikian ketika diminta mengulas pendekatan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dalam membidas pemimpin DAP Teresa Kok berhubung isu pensijilan halal.

“Secara prinsip kita tak setuju dengan Teresa Kok dalam isu pensijilan halal, daripada dulu lagi kita buat laporan polis (dalam isu seperti ini). Tapi saya tak nak sebut nama siapa-siapa.

“Tapi bila PAS bercakap kita tak menggunakan bahasa-bahasa yang kasar, kita tak menggunakan bahasa yang menyakitkan hati.

“Itu bukan budaya PAS. Tapi saya tak tujukan kepada sesiapa,” katanya dalam sidang media Munaqasyah ucapan dasar Presiden PAS ke-70 peringkat negeri Selangor di Pusat Konvensyen Bangi, hari ini.

Akmal sebelum ini menggelar Kok sebagai "nyonya tua" yang tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal Islam, selain mencadangkan kerajaan menyediakan logo tidak halal untuk dilekatkan di dahi ahli parlimen Seputeh itu.

Ini selepas kenyataan Kok mengenai cadangan mewajibkan pensijilan halal ke atas restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol.

Antara lain Kok berkata cadangan itu bakal membebankan peniaga, termasuk orang Islam dan boleh menjejaskan imej Malaysia.

Kok telah memberikan keterangan kepada pihak polis berhubung isu itu namun menegaskan tiada keperluan untuk pihak berkuasa melakukan siasatan terhadapnya.

Dia juga telah dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Putrajaya untuk disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 atas "penyalahgunaan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian".

Susulan itu, Kok telah menghantar surat tuntutan kepada Akmal bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM25 juta, kerana menurutnya memutar belit kenyataannya berhubung isu berkenaan.

Sementara itu, AJK PAS Pusat Annuar Musa yang ditemui berkata isu melibatkan pemimpin DAP dan Umno itu sepatutnya sudah reda dan dijadikan peringatan kepada semua pihak.

“Kalau apa pun pandangan harus dibuat secara profesional, bukan dibuat secara sentimen atau pun secara beremosi serta tengok kepada subject matters.

“Perkara-perkara berkaitan dengan sensitiviti orang Islam, orang bukan Islam harus pastikan dia tidak melangkaui batasan tertentu sebagai menghormati dan juga sebagai realiti kita berada dalam sebuah negara pelbagai agama.

“Begitu juga dengan orang Islam, jaga akhlak Islam. Islam itu elok, murni dan ada garis panduan dia. Jadi tak perlu lagi saya komen lebih jauh daripada itu,” katanya.

Dalam pada itu mengulas sindiran sinis Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi yang memuji ahli Parlimen Pasir Mas itu kerana menggunakan kata-kata azimat pemimpin revolusi Komunis, Mao Zedong dalam menjawab kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada PRK Mahkota, Fadhli menegaskan dirinya langsung tidak memuji apa juga kebaikan dilakukan pihak terlibat sepertimana dibangkitkan.

“Saya tak payah jawablah yang sinis-sinis (Puad) sebab saya tak belajar di sekolah komunis. Orang lain yang belajar, saya juga tak akui kebaikan (komunis)

“Bukan saya yang terima komunis, saya bercakap dengan orang yang berkemungkinan graduan sekolah komunis mungkin dia mudah menerima kata-kata daripada komunis,” katanya.

Terdahulu, Puad secara sinis memuji bekas ketua pemuda PAS itu kerana menggunakan kata-kata azimat Mao Zedong dalam menjawab kekalahan PN pada PRK Mahkota, minggu lalu.

Puad berkata tindakan Ahmad Fadhli itu sebagai ‘bagus’ dan menunjukkan idea pemimpin Komunis boleh ‘digunakan’.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS