Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada ahli PAS terlibat GISBH, hanya bekas ahli - Ahmad Fadhli
2

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan bahawa tiada ahli mahu pun pemimpin parti itu yang terlibat dalam Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH).

Bagaimanapun, Ahmad Fadhli berkata ada beberapa individu yang dikesan terlibat dengan GISBH selepas mereka keluar daripada PAS.

“Tidak ada ahli PAS yang terlibat dengan GISBH, yang terlibat dengan GISBH ini yang sudah keluar daripada PAS,” katanya ringkas kepada pemberita dalam sidang media Munaqasyah ucapan dasar Presiden PAS ke 70 peringkat negeri Selangor di Pusat Konvensyen Bangi, hari ini.

Ahmad Fadhli berkata demikian mengulas sama ada terdapat ahli atau pemimpin parti itu yang didapati terlibat dalam GISBH iaitu pergerakan yang didapati menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

Sebelum ini media melaporkan pihak polis telah melancarkan Op Global awal bulan lepas dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Hasil serbuan seramai 572 mangsa berjaya diselamatkan, dan 359 pengikut GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut ditahan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Ahmad Fadhli menafikan tanggapan kekalahan calon Perikatan Nasional (PN) dalam dua pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini akan membawa kepada keretakan hubungan dengan Bersatu.

Mengulas perkara itu, Ahmad Fadhli berkata tidak wajar untuk mana-mana pihak menjadikan ukuran kekalahan PN di PRK Nenggiri dan Mahkota sebagai penyebab hubungan mereka dengan Bersatu mula retak.

Sebaiknya, kata Ahmad Fadhli hubungan PAS dengan Bersatu dalam PN baik.

“Orang (gabungan) lain bermasalah, yang ada penyakit kencing manis orang lain, yang ada darah tinggi orang lain bukan parti dalam PN bermasalah.

“Hubungan kita PAS, Bersatu baik sahaja tak ada isu, jadi kekalahan dua PRK itu tak boleh jadi ukuran kononnya akan ada keretakan hubungan,” katanya

Jelas Ahmad Fadhli lagi, kekalahan PN dalam dua PRK itu juga bukan bukti bahawa rakyat mula menolak meraka.

“Kalah PRK biasa, PRN Melaka, Johor sebelum ini pun kita kalah. Bila datang PRU kita menang, setakat kalah PRK mungkin selepas ini kita menang Malaysia mana tahu,” katanya.

Sebelum ini laporan media memetik penganalisis berpandangan bahawa kekalahan PN dalam PRK Mahkota berisiko menggugat hubungan Bersatu dan PAS.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi juga dilaporkan turut mendakwa PN mula berasa takut dua komponen utama gabungan itu Bersatu dan PAS akan berpecah apabila kalah teruk di PRK Mahkota.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS