Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketegangan semakin meningkat, 96 rakyat Korea tinggalkan Lubnan

Sebuah pesawat tentera milik Korea Selatan membawa pulang 96 rakyatnya dari Lubnan dalam operasi pemindahan pertama susulan ketegangan yang semakin memuncak di rantau itu, menurut Kementerian Luar pada Sabtu.

Pesawat pengangkut tentera KC-330 berlepas dari Beirut pada petang Jumaat (waktu tempatan) dan dijangka mendarat di Pangkalan Udara Seoul di Seongnam, hari yang sama, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian.

Seorang warganegara Lubnan yang juga ahli keluarga kepada seorang rakyat Korea Selatan, turut berada dalam pesawat itu.

Pelan pemindahan dilaksanakan berikutan konflik antara Israel dan Hizbullah yang terus meningkat, menyebabkan kesukaran bagi warga asing di Timur Tengah untuk meninggalkan negara itu melalui penerbangan komersial.

"Kerajaan kami akan terus memantau keadaan di Lubnan dan Timur Tengah bagi memastikan keselamatan rakyat kami. Kami akan mengambil semua langkah yang diperlukan untuk melindungi mereka," kata kementerian itu dalam kenyataan akhbar.

Pada Rabu, Presiden Yoon Suk Yeol mengarahkan penghantaran segera pesawat pengangkut tentera untuk membawa pulang rakyat Korea Selatan.

Sehingga Rabu, kira-kira 130 rakyat Korea Selatan berada di Lubnan, tidak termasuk diplomat dan keluarga mereka.

Israel melancarkan siri serangan udara pada Jumaat di kawasan pinggir bandar Beirut dan memutuskan laluan sempadan utama antara Lubnan dan Syria, menjejaskan puluhan ribu orang yang melarikan diri dari pengeboman Israel.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS