Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jumlah mangsa banjir di Selangor, Kedah, Perak meningkat

Jumlah mangsa banjir di Selangor, Kedah, dan Perak mencatatkan sedikit peningkatan pada pagi ini berbanding malam tadi, dengan pembukaan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) baru di ketiga-tiga negeri.

Di SELANGOR, jumlah mangsa di tiga PPS yang beroperasi di Shah Alam, Gombak, dan Kuala Selangor meningkat kepada 1,195 individu daripada 286 keluarga pagi ini, berbanding 1,178 orang malam tadi.

Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, PPS yang dibuka ialah Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Seri Kundang, Balai Raya Kampung Melayu Sri Kundang, Dewan Masyarakat Kampung Gombak, Kuang, Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman, Dewan Kenanga Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Bunga Matahari dan SK Ijok.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 248 orang daripada 80 keluarga setakat 8 pagi ini dengan sebuah PPS baharu dibuka di Baling bagi menempatkan sebahagian mangsa yang terjejas.

Menurut laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, tiada sungai di Kedah yang berada pada paras bahaya, namun beberapa sungai di negeri itu melebihi paras amaran.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Mejar (PA) Mohd Suhaimi Mohd Zain memaklumkan bahawa PPS terbaharu ialah Dewan Batu 48, menjadikan keseluruhan lapan PPS beroperasi di daerah tersebut, iaitu SK Siong, SK Seri Bayu, SK Tanjung Pari, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Panjang, Dewan Kampung Banggol Deram, Surau Kampung Lahar dan Surau Albarakah Tembak B.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 121 orang daripada 36 keluarga, berbanding 106 mangsa daripada 30 keluarga malam tadi.

Kesemua mangsa berkenaan ditempatkan di tiga PPS di daerah Taiping dan Kerian termasuk PPS yang baru dibuka iaitu di SK Matang di Taiping.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS