Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahmad Faizal pertahan Azmin lepas kalah di Mahkota

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu hari ini mempertahankan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali, yang didakwa menyebabkan gabungan itu kalah teruk dalam pilihan raya kecil (PRK) Mahkota di Johor baru-baru ini.

Bercakap pada sidang media, Faizal sebaliknya memuji hasil kerja bekas Menteri Besar Selangor itu pada PRK berkenaan dengan berkata ia antara jentera pilihan raya terbaik yang dilihatnya setakat ini.

“Saya melihat pengarah pilihan raya kita Azmin Ali telah menyediakan jentera pilihan raya yang sangat hebat untuk parti.

“Saya berpandangan jentera pilihan raya kami sewaktu di PRK Mahkota adalah antara yang terbaik. Malangnya keputusan tidak menyebelahi pihak kami," katanya.

Semalam, portal berita Free Malaysia Today dalam artikelnya memetik pemimpin pembangkang yang tidak dinamakan, termasuk dari Bersatu, menyalahkan Azmin atas kekalahan mereka di Mahkota.

PRK itu menyaksikan calon PN Mohamad Haizan Jaafar tewas dengan lebih 20,000 majoriti kepada calon BN Syed Hussien Syed Abdullah.

Salah seorang sumber yang bercakap kepada portal itu mendakwa Azmin gagal menguruskan jentera PN, dan didakwa hanya bergantung kepada mereka yang rapat dengannya untuk aktiviti kempen.

Mengulas lanjut, Faizal memberitahu pemberita bahawa Bersatu telah menerima keputusan pengundi dan akan bekerja lebih keras untuk menambah baik jentera mereka.

Sementara itu, semasa sidang media berkenaan, jawatankuasa pemilihan Bersatu mengumumkan senarai nama calon yang bertanding jawatan dalam pemilihan parti akan datang.

Menurut senarai yang dibacakan oleh timbalan pengerusinya Saiful Adli Arshad, mereka hanya menerima satu pencalonan setiap seorang untuk jawatan presiden dan timbalan presiden parti.

Ini bermakna penyandang presiden Muhyiddin Yassin telah disahkan untuk terus menerajui parti, manakala setiausaha agung parti sekarang Hamzah Zainudin ditetapkan sebagai timbalannya.

Faizal pula akan bertanding untuk satu daripada tiga tempat naib presiden menentang lima pencabar lain, termasuk penyandang Ronald Kiandee dan Mohd Radzi Jidin.

Sayap Wanita Bersatu, atau Srikandi, juga akan melihat ketua baru selepas penyandangnya Rina Harun menarik diri daripada saingan.

Dia pada mulanya bersedia untuk mempertahankan kerusi itu menentang Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, yang merupakan naib ketua Srikandi sekarang.

Bagi jawatan Ketua Pemuda Bersatu, Saiful berkata dua calon akan menyertai saingan iaitu Muhammad Hilman Idham, yang merupakan Adun Gombak, dan Akmal Zahin Zainal Zahir.

Penyandang Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebelum ini mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu, dan merupakan antara 80 calon yang bertanding jawatan pimpinan tertinggi parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS