Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian Wilayah nafi DBKL naik sewa tapak bazar Deepavali

Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini menafikan dakwaan parti MyPPP bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikkan kadar sewaan bagi tapak bazar Deepavali di sekitar Kuala Lumpur.

Ketika dihubungi Malaysiakini, pegawai khas kepada menteri Wilayah Persekutuan, G Sivamalar turut mengesahkan DBKL juga tidak mengurangkan tempoh bazar tersebut.

"Kenyataan itu tidak betul. Tempoh bazar sama seperti tahun lepas. Kadar fi lesen dan caj perkhidmatan pun sama tiada perubahan.

"Saya minta mereka (MyPPP) semak semula aduan yang mereka terima. Mungkin, mereka merujuk kepada penganjuran bazar oleh pihak swasta," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu Presiden MyPPP Loga Bala Mohan meminta DBKL mempertimbangkan semula permohonan untuk menurunkan sewa tapak bazar Deepavali di sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, MyPPP menerima aduan daripada peniaga mengenai kenaikan kadar sewa semasa.

Menurut bekas timbalan menteri Wilayah Persekutuan itu, dia menerima aduan DBKL mengenakan kadar sewa RM75 sehari dan tempoh bazar dikurangkan ke dua minggu sahaja.

Namun, Sivamalar menjelaskan tempoh bazar itu selama 24 hari bermula 7 Okt hingga 30 Okt.

Sementara itu, kadar bayaran lesen sebanyak RM24 dan caj perkhidmatan (sewa) RM120 untuk 24 hari.

Bazar Deepavali acara tradisi jualan bazar sempena perayaan Deepavali di seluruh negara yang bakal disambut penganut Hindu pada 31 Oktober ini.

Sementara itu, Loga Bala meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mempertimbangkan tambahan peruntukan RM1.5 juta untuk bakul makanan sempena perayaan Deepavali.

"Kata menghargai usaha kerajaan membantu masyarakat India. Namun, peruntukan terlalu kecil dan mungkin tidak akan memberi manfaat kepada semua masyarakat India yang memerlukan bantuan ini.

"Seperti kata perdana menteri sendiri, bahawa kaum India merupakan antara golongan miskin tegar di negara ini.

"Kita harap beliau akan menambahkan lagi peruntukan ini agar matlamat kerajaan membawa hasilnya," katanya.

Sebelum ini, Anwar berkata kerajaan sehingga kini menyalurkan RM1.5 juta untuk bakul makanan sempena perayaan Deepavali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS