Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dari timbalan Peja tawar diri jadi naib presiden Bersatu
Diterbitkan:  Oct 4, 2024 5:23 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Ahmad Faizal Azumu merupakan seorang daripada enam pemimpin Bersatu yang mencuba nasib untuk mengisi tiga jawatan naib presiden parti terbabit dalam pemilihan kali ini.

Ia menyaksikan Ahmad Faizal 'turun pangkat' sedikit kerana sebelum ini dia merupakan orang nombor dua selepas presiden, Muhyiddin Yassin.

Dua lagi nama yang bertanding untuk jawatan naib presiden ialah penyandang, Radzi Jidin Dan Ronald Kiandee. Seorang lagi naib presiden, Azmin Ali tidak menyertai pemilihan kali ini, dipercayai bakal dilantik sebagai setiausaha agung menggantikan Hamzah Zainudin.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut pula menjadi satu-satunya calon untuk menggantikan Ahmad Faizal sebagai timbalan Muhyiddin.

Selain Ahmad Faizal, Radzi dan Ronald, turut menyertai persaingan sebagai pemimpin pelapis untuk Bersatu ialah Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, Mohd Rafiq Mohd Abdullah (Adun Kuang di Selangor) serta A'ziss Zainal Abidin (Bersatu Batu Kawan).

Untuk rekod Ahmad Faizal memang sudah bersetuju untuk tidak mempertahankan jawatan timbalan presiden bagi memberi laluan kepada Hamzah menyandangnya.

Persefahaman berkenaan dicapai selepas Muhyiddin sendiri yang berpendapat Hamzah wajar diberikan tempat sebagai orang nombor dua dalam Bersatu.

Pada 13 Jul lalu, Muhyiddin dilapor mengumumkan dua jawatan tertinggi parti itu bagi penggal akan datang sudah diisi secara rundingan dalam kalangan majlis pimpinan tertinggi (MPT) parti berkenaan.

Bagaimanapun, tegas Muhyiddin, persetujuan itu masih tertakluk kepada perlembagaan parti iaitu mana-mana ahli Bersatu tetap boleh menawarkan diri untuk bertanding.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan Bersatu hari ini secara langsung mengesahkan jawatan presiden dan timbalan presiden telah dimenangi tanpa bertanding.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS