Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suap menteri: Taikun M'sia dihadap ke mahkamah S'pura
Diterbitkan:  Oct 4, 2024 4:21 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Taikun Malaysia, Ong Beng Seng diseret ke Mahkamah Negara Singapura atas pembabitannya dalam kes mantan menteri pengangkutan S Iswaran.

Ong, 78 tahun berdepan dua pertuduhan iaitu menghalang proses keadilan dan bersubahat dengan bekas menteri pengangkutan Singapura, S Iswaran, yang kini dipenjarakan untuk memperolehi hadiah.

Menurut laporan Channel News Asia (CNA), Ong yang juga pemilik Hotel Properties Ltd dan pemegang hak perlumbaan Formula Satu Grand Prix Singapura, didakwa atas tuduhan rasuah selepas didapati memberi hadiah mewah bernilai hampir AS$ 300,000 kepada Iswaran, yang dijatuhi hukuman penjara semalam.

Dua pertuduhan dibacakan di mahkamah Singapura, di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan penjawat awam yang memperoleh barang berharga daripada seseorang yang terlibat dalam urusan atau perniagaan dengan penjawat awam itu, manakala Seksyen 204A Kanun Keseksaan merujuk kepada halangan terhadap keadilan.

Iswaran (gambar atas) mula dikaitkan dengan pertuduhan berkaitan Ong apabila dia dikenakan 27 pertuduhan pada 18 Januari. Ini termasuk dua pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah dan 25 pertuduhan lain di bawah Kanun Keseksaan, dengan satu di bawah Seksyen 204A dan 24 di bawah Seksyen 165.

Pertuduhan rasuah itu mendakwa Iswaran menerima rasuah daripada Ong sebagai balasan memperkukuh kepentingan perniagaan Ong, khususnya dalam perjanjian antara Singapore GP dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Iswaran didakwa menerima tiket Singapore Grand Prix, penerbangan peribadi ke Doha, penginapan di Four Seasons Doha dan penerbangan kelas perniagaan pergi balik, dengan nilai keseluruhan kira-kira S$166,282 (AS$128,251).

24 lagi pertuduhan di bawah Seksyen 165 terhadap Iswaran juga melibatkan Ong, dengan dokumen mahkamah menunjukkan dia menerima barang berharga bernilai kira-kira S$218,000, termasuk tiket ke acara-acara.

Pada 25 Mac, Iswaran menghadapi lebih banyak pertuduhan, dengan lapan lagi pertuduhan di bawah Seksyen 165 berkaitan penerimaan barang daripada Lum Kok Seng, pengarah urusan Lum Chang Holdings. Pun begitu Lum belum didakwa.

Pada awalnya dijadualkan untuk perbicaraan, Iswaran sebaliknya mengaku bersalah pada 24 September selepas tuduhan rasuahnya diturunkan kepada kesalahan lebih ringan di bawah Seksyen 165, yang membawa hukuman lebih ringan.

Dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 165 dan satu di bawah Seksyen 204A, dengan pertuduhan lain dipertimbangkan semasa penjatuhan hukuman.

Iswaran dijatuhi hukuman penjara selama satu tahun dan dijadualkan memulakan hukuman pada 7 Oktober.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS