Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pegawai bank didakwa hantar mesej WhatsApp berbaur lucah

Seorang pegawai bank didakwa di Mahkamah Majistret di Ipoh hari ini atas dua pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan menghantar Whatsapp berbaur lucah, tiga tahun lepas.

Rosman Jamaluddin, 52, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Bagi kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa menghantar Whatsapp berbaur lucah kepada seorang wanita berusia 38 tahun dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan dan mengganggu kesantunannya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Ipoh Garden East di Ipoh pada 10.52 malam, 20 Mei 2021 dan 12.08 tengah malam pada 18 Ogos 2021.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria menawarkan jaminan RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa manakala peguam Khairil Azwar Khalil merayu jaminan dikurangkan kerana anak guamnya mempunyai penyakit darah tinggi dan slip disc selain menanggung isteri dan empat cahaya mata yang masih belajar serta seorang ibu.

Mahkamah menetapkan jaminan RM2,500 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan 25 Nov ditetapkan untuk sebutan semula kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS