Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LHDN tak batal pengecualian cukai Utar, Utaref - timb menteri
Diterbitkan:  Oct 4, 2024 2:43 PM
Dikemaskini: 6:43 AM

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan dakwaan ia membatalkan status pengecualian cukai Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) dan Yayasan Pendidikan UTAR (Utaref), yang dilaporkan oleh media tempatan hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, status pengecualian cukai Utaref, yang diberikan di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 pada 1 Julai 2003, tidak berubah dan tidak pernah dibatalkan.

Jelas Lim dalam satu kenyataan hari ini, bagi Utar, LHDN menjelaskan bahawa tiada status pengecualian cukai pernah diberikan di bawah Seksyen 44(6).

"LHDN telah memaklumkan kepada saya bahawa adalah tidak betul untuk menyatakan bahawa status pengecualian cukai Utar dan Utaref telah dibatalkan.

"LHDN berpendapat bahawa Utaref dan Utar dianggap sebagai dua entiti berbeza untuk tujuan cukai.

“Oleh itu, LHDN berpendapat bahawa pendapatan yang dijana oleh Utaref terus menikmati status dikecualikan cukai, manakala pendapatan yang dijana oleh

Utar tidak," katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, Utar mendakwa pendapatan yang dijana olehnya adalah sama dengan Utaref.

Justeru, Utar kini merayu kepada Kementerian Kewangan Malaysia berhubung keputusan LHDN untuk mengenakan cukai tertunggak dan penalti berjumlah RM83 juta ke atas pendapatan Utar.

“Saya telah menyatakan kepada LHDN kebimbangan orang ramai sama ada ini mewakili formula cukai baru yang bertujuan mengutip hasil tambahan untuk kerajaan.

“LHDN memberi jaminan kepada saya bahawa ini bukan sedemikian dan mereka mematuhi syarat dan garis panduan sedia ada yang mengawal institusi yang diberikan status pengecualian cukai," katanya.

Dia berkata rayuan Utar kini sedang diproses oleh Bahagian Cukai Kementerian Kewangan, dan dia akan membuat susulan dengan harapan penyelesaian yang memuaskan dapat dicapai.

Laporan Sin Chew Daily hari ini mempersoalkan sama ada kerajaan dalam usaha mengembangkan asas hasil cukainya, telah mula mengutip cukai pendapatan daripada universiti swasta dan pertubuhan kebajikan yang sebelum ini dikecualikan daripada cukai.

Laporan itu mendakwa Utaref baru-baru ini telah dikenakan bil cukai, termasuk denda sehingga 45 peratus, berjumlah lebih RM83 juta.

Ia memetik sumber mendedahkan bahawa langkah LHDN ini secara tidak langsung bermakna status pengecualian cukai yang dinikmati yayasan itu sejak 2003 kini telah dibatalkan.

Laporan itu selanjutnya menyatakan bahawa selepas menerima bil cukai besar-besaran, yayasan itu menulis kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Anwar pada Jun, meminta pembaharuan status dikecualikan cukai dan pembatalan cukai dan denda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS