Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pensyarah rugi RM170,000 akibat 'pelaburan pokok kenaf'
Diterbitkan:  Oct 4, 2024 2:34 PM
Dikemaskini: 6:34 AM

Bekas pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kerugian RM170,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan penanaman pokok kenaf.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Mushaddat Abdullah Sani berkata lelaki berusia 60 tahun itu dilaporkan bertemu seorang lelaki yang mendakwa kononnya wakil sebuah syarikat penanaman kenaf pada Jun 2022.

Katanya sepanjang tempoh itu, individu terbabit menawarkan mangsa menyertai pelaburan penanaman pokok kenaf dengan janji dividen sebanyak tiga peratus setiap tahun.

“Mangsa telah menandatangani beberapa dokumen perjanjian dan pada tarikh sama membuat pemindahan wang ke dalam satu akaun bank syarikat secara berperingkat berjumlah RM200,000.

“Daripada jumlah pelaburan itu, mangsa menerima dividen sebanyak RM30,000 namun sejak Jan tahun lepas, lelaki itu tidak lagi menerima pulangan yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mushaddat berkata mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat semalam.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS