Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin meminta orang ramai supaya tidak menghukum semua rakyat Palestin yang mencari perlindungan di negara ini berdasarkan tindakan segelintir daripada mereka.
Ini selepas beberapa pelarian dirakam mengamuk di pusat perlindungan Kementerian Pertahanan dua hari lalu.
Insiden itu mendapat kritikan daripada netizen yang mempersoalkan langkah kerajaan mengambil rakyat Palestin untuk mendapatkan rawatan perubatan di negara ini.
Ada juga netizen yang menggesa kerajaan menghantar pulang pelarian berkenaan ke negara mereka yang sedang dilanda perang.
Menurut Khaled, kejadian itu hanya melibatkan segelintir rakyat Palestin yang menghadapi tekanan.
"Bukan semua (begitu). Hanya segelintir yang terlalu tertekan," katanya dalam pesanan ringkas.
Malaysiakini menghubungi menteri berkenaan untuk mendapatkan komen mengenai insiden itu dan kritikan daripada netizen.
"Mindef sedang meneliti keluhan mereka," tambahnya, tanpa mengulas lebih lanjut.
Semalam, beberapa klip video pendek tular mengenai kejadian itu, yang didakwa berlaku di Wisma Transit Mindef di Kuala Lumpur.
Menerusi salah satu video, seorang wanita berbahasa Arab dilihat menjerit kepada seorang anggota tentera selepas dia menendang dan merosakkan harta benda di tempat kejadian.
Satu lagi klip video menunjukkan pasu pecah di atas lantai, manakala seorang lagi wanita dan seorang kanak-kanak dilihat berteriak "Malaysia No, Malaysia No" dalam klip video berasingan.
Polis Kuala Lumpur dalam pada itu berkata mereka tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu.
Pada 16 Ogos lalu, dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel tiba di Pangkalan Udara Subang, Selangor.
Kedua-dua pesawat itu berlepas dari Pangkalan Udara Al Maza di Kaherah, Mesir dengan membawa 41 pesakit dan 86 ahli keluarga mereka.
Ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Malaysia untuk membantu rakyat Palestin yang menderita akibat pencerobohan Israel.