Seorang wanita Sarawak merayu untuk meninggalkan Islam dan kembali ke agama Kristian selepas berpisah dengan lelaki Melayu yang berjanji untuk mengahwininya.
Iqbal Harith Liang memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa anak guamnya mahukan peluang untuk berhujah kesnya di mahkamah sivil berbanding mahkamah syariah.
Katanya, wanita itu tidak boleh dijangka akan mendapatkan penyelesaian di mahkamah syariah memandangkan sentimen terhadap orang yang mahu menukar agama.
“Dia adalah mangsa keadaan, yang bukan kerana tindakannya sendiri.
“Dia jenis yang mengejar cinta sampai ke hujung. Tetapi malangnya percintaan itu terhalang oleh garis agama di negara ini.
“Sekarang dia terperangkap untuk bebas dan kembali ke identiti Kristian,” katanya terhadap tiga panel hakim yang diketuai oleh Supang Lian.
Wanita 26 tahun itu memohon kebenaran untuk membuat semakan kehakiman bagi mengeluarkan namanya daripada daftar mualaf.
Panel hakim–yang turut dianggotai oleh Lim Chong Fong dan Ahmad Fairuz Zainol Abidin–tidak membuat sebarang keputusan hari ini.
Pengurusan kes akan berlangsung pada 11 Oktober depan bagi menetapkan tarikh penyampaian keputusan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Sept lepas menolak permohonan wanita itu dan memutuskan ia berada bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
Wanita itu memeluk Islam pada 18 Ogos 2017 untuk berkahwin dengan seorang lelaki beragama Islam.