Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu sensitif sesama raja jangan bincang di media sosial - Sultan Selangor
Diterbitkan:  Oct 4, 2024 11:55 AM
Dikemaskini: 4:28 AM

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua kerabat diraja supaya mempamerkan adab budaya yang baik ketika muncul di khalayak umum ataupun di media sosial.

Ini termasuk menonjolkan pekerti mulia agar dihormati dan disayangi rakyat. 

“Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa isu-isu yang sensitif membabitkan sesama raja-raja Melayu dielakkan daripada dibincangkan di media-media sosial,” menurut kenyataan Pejabat Diraja Selangor.

Perkara itu antara yang terzahir susulan pertemuan baginda dengan pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail di Istana Selangor, Kuala Lumpur, Selalu lalu.

Baginda turut menegaskan perlunya kesatuan dan kesepaduan yang utuh antara kesemua sembilan raja-raja Melayu. 

“Titah Baginda, raja-raja Melayu mesti bekerjasama sebagai satu pasukan dan sentiasa bantu-membantu ketika berdepan apa jua permasalahan rakyat jelata. 

“Ini sangat penting kerana peranan raja-raja Melayu dalam menaungi kesejahteraan hidup rakyat kini melangkaui isu-isu agama, malah turut membabitkan isu-isu semasa lain,” katanya.

Mengenai bola sepak, pejabat itu juga berkata kesefahaman dicapai bahawa tidak akan ada lagi perselisihan yang boleh mengundang permusuhan sehingga membawa kepada keganasan. 

“Baginda menegaskan sekali lagi bahawa bola sepak adalah sukan rakyat yang telah sekian lama menyatupadukan masyarakat, justeru ia harus dipelihara dan dikekalkan sebagai salah satu wadah keharmonian negara,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini Malaysia dikejutkan dengan insiden pemain Selangor Faisal Halim diserang dengan asid yang membuatkannya cedera teruk dan menggantung kasut berbulan-bulan.

Sehingga kini, dia yang juga pemain kebangsaan masih belum kembali ke prestasi asal dan sering memanaskan bangku simpanan, selain terlepas peluang beraksi bersama Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Ogos lalu, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat menyindir kejayaan Selangor menjulang  Piala Sultan Selangor.

“Kalau buat piala syok sendiri dan raikan macam menang piala rasmi, saya akan buat Piala Daddy, dan Piala Cap Susu mulai tahun depan,” komen baginda portal sukan MakanBola.

Pejabat Diraja Selangor juga berkata Sultan Sharafuddin menzahirkan ucapan terima kasih atas keberangkatan Tunku Mahkota Ismail dan sukacita dengan hasil pertemuan .

Pejabat Diraja Selangor mempertahankan penganjuran piala itu antara pasukan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura, musuh tradisi sejak puluhan tahun.

Selain mengembalikan nostalgia, menurut pejabat itu, penganjuran Piala Sultan Selangor dinanti-nantikan peminat yang merindui zaman kegemilangan bola sepak Malaysia.

Seteru dalam padang saja

Sementara itu, semalam, Tunku Mahkota Ismail berkata baginda dan Sultan Sharafuddin berkongsi pendapat tentang perpaduan dalam kalangan rakyat, profesionalisme di Malaysia dan kepentingan penyatuan institusi diraja untuk berkhidmat sebagai simbol negara.

Berkaitan bola sepak, baginda berdua bersetuju bahawa semua pihak perlu memastikan perseteruan bola sepak kekal di dalam padang sahaja.

Di luar padang pula, perlunya saling hormat-menghormati serta perpaduan, menurut makluman di Facebook baginda.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS